SERDANG - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) memperkukuh peranannya dalam memacu transformasi digital sektor agromakanan negara menerusi pelantikan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sebagai Pengesah Teknologi Digital Strategik Nasional dan Agensi Pelaksana Program Digital AgTech KPKM.
Pelantikan yang diumumkan sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 pada 30 Ogos lalu memperluas mandat MDEC dalam mempercepat penerimagunaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital merentasi sektor agromakanan.
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil berkata, keterjaminan makanan dan pembangunan ekonomi digital merupakan dua agenda strategik negara yang saling berkait rapat.
Menurutnya, pelantikan berkenaan merupakan satu kepercayaan besar kepada MDEC untuk memastikan teknologi digital dan AI diterjemahkan kepada manfaat nyata kepada sektor agromakanan dan rakyat.
"Melalui i-AGRI, BidFresh dan Agrovator@Sekolah, kami membina ekosistem yang menghubungkan data, inovasi, pembangunan bakat dan akses pasaran.
"Selaras dengan MD2030, usaha ini akan menyokong aspirasi Malaysia sebagai Negara AI menjelang 2030, di samping membuka lebih banyak peluang ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Terdahulu, majlis tersebut turut menyaksikan pelancaran tiga inisiatif strategik, iaitu Platform Pengadaptasian Teknologi Pertanian Digital (i-AGRI), Platform BidFresh dan Program Agrovator@Sekolah.
Ketiga-tiga inisiatif itu saling melengkapi dalam memperkukuh ekosistem Digital AgTech negara melalui perancangan berasaskan data, peluasan akses pasaran dan pembangunan bakat masa hadapan.
Usaha tersebut bertujuan meningkatkan produktiviti, mengoptimumkan penggunaan sumber, memperkukuh keterjaminan makanan serta melonjakkan daya saing industri.
Pelaksanaan inisiatif-inisiatif tersebut menyokong agenda Malaysia Digital 2030 (MD2030) dan aspirasi Malaysia sebagai Negara AI menjelang 2030 dengan memperluas penggunaan teknologi digital dalam sektor ekonomi sebenar.
Langkah itu juga selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) dan Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 (DKMN 2030).
Usaha berkenaan diterajui oleh KPKM dengan kerjasama strategik antara Kementerian Digital, Kementerian Ekonomi, agensi berkaitan, penyedia teknologi, institusi pendidikan, pemain industri serta komuniti pertanian bagi memacu transformasi digital di seluruh rantaian nilai agromakanan negara.
Sehingga kini, lebih 800 sistem Digital AgTech termasuk lebih 100 sistem berasaskan AI telah dipasang di seluruh negara oleh syarikat teknologi tempatan berstatus Malaysia Digital (MD).
Pelaksanaannya merangkumi subsektor tanaman, ternakan, perikanan dan akuakultur, manakala lebih 30,000 peserta telah menerima latihan serta pendedahan teknologi Digital AgTech.
Penyelesaian yang diterapkan merangkumi AI, Internet Kebendaan (IoT), automasi, sistem pemantauan pintar dan analisis data bagi membantu meningkatkan hasil pengeluaran, mengurangkan kos operasi serta memperkukuh kecekapan pengurusan ladang dan rantaian bekalan.