PENAMPILAN di Piala Dunia 2026 memberi impak besar terhadap pasaran perpindahan antarabangsa apabila lebih 260 pemain yang beraksi pada kejohanan berkenaan terlibat dalam urus niaga bernilai melebihi AS$3.3 bilion (RM13.34 bilion) sepanjang jendela pertengahan tahun.
Menurut Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), pemain dari 47 negara itu menyumbang lebih satu pertiga daripada keseluruhan perbelanjaan perpindahan antarabangsa bola sepak lelaki yang merekodkan nilai tertinggi sebanyak AS$9.89 bilion (RM39.9 bilion).
Dalam laporan terbaharunya, FIFA turut mendedahkan lebih 12,500 perpindahan antarabangsa didaftarkan di seluruh dunia sepanjang jendela berkenaan, sekali gus mencatat angka tertinggi bagi tempoh pertengahan tahun.
Kejayaan Sepanyol menjuarai Piala Dunia pada Julai turut menjadi antara faktor yang menghangatkan pasaran apabila prestasi pemain di pentas terbesar itu meningkatkan nilai komersial dan pasaran mereka.
Antara nama besar yang mencuri perhatian ialah pemain tengah Sepanyol, Rodri, yang meninggalkan Manchester City untuk menyertai Barcelona, manakala pemain sayap Perancis, Bradley Barcola, beralih daripada Paris Saint-Germain (PSG) ke Liverpool.
Fenomena peningkatan nilai perpindahan turut berlaku dalam bola sepak wanita apabila jumlah perbelanjaan antarabangsa melonjak lebih dua kali ganda berbanding 2025 kepada AS$28.6 juta (RM115 juta).
Sebanyak 1,406 perpindahan antarabangsa membabitkan pemain profesional wanita direkodkan sepanjang tempoh itu, angka tertinggi dalam sejarah dan meningkat 19.2 peratus berbanding rekod sebelumnya.
Kelab dari England terus menjadi kuasa utama dalam pasaran global apabila membelanjakan AS$3.02 bilion (RM12.21 bilion) untuk perpindahan pemain lelaki, manakala AS$8 juta (RM32 juta) dibelanjakan dalam pasaran wanita.