Cukai RM1.69 bilion, RM37.6 juta: Najib, anak berjaya tangguh prosiding bankrap

Iklan
Najib dan anaknya, Mohd Nazifuddin (kanan).

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan anaknya, Datuk Mohd Nazifuddin berjaya dalam permohonan untuk menangguhkan prosiding kebankrapan terhadap mereka.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Dr Alwi Abdul Wahab, memutuskan demikian selepas mendapati isu yang dibangkitkan di hadapan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan cukup serius untuk mewajarkan penangguhan.

Iklan
Iklan

Ketika membaca keputusan sebulat suara itu, Alwi berkata, penangguhan prosiding kebankrapan tidak akan menyebabkan atau menjejaskan kepentingan kerajaan selaku responden.

Beliau yang bersidang bersama Hakim, Datuk Dr Shahnaz Sulaiman dan Datuk Ong Chee Kwan berkata, bekas Ahli Parlimen Pekan berusia 73 tahun itu selaku perayu juga tidak akan mengalami sebarang kemudaratan yang tidak boleh diperbaiki.

Iklan

Pada 25 Jun 2020, kerajaan memfailkan saman terhadap Najib bagi menuntut bayaran RM1,692,872,924.83, manakala Mohd Nazifuddin dituntut membayar RM37.6 juta.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mendakwa tuntutan itu membabitkan cukai pendapatan yang masih belum dibayar bagi Tahun Taksiran 2011 hingga 2017.

Iklan

Pada 22 Julai tahun sama, Mahkamah Tinggi memerintahkan Najib membayar cukai pendapatan tertunggak berkenaan kepada LHDN.

Hakim, Datuk Ahmad Bache yang kini telah bersara, membenarkan permohonan penghakiman terus LHDN terhadap bekas pemimpin itu.

Penghakiman terus membolehkan mahkamah membuat keputusan tanpa melalui perbicaraan penuh, termasuk proses mendengar keterangan saksi.

Dua beranak itu kemudian merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 17 November 2025 yang menolak permohonan mereka untuk menangguhkan prosiding kebankrapan.

Permohonan berkenaan dibuat sementara menunggu penyelesaian rayuan mereka di hadapan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT), yang mencabar taksiran cukai tambahan dikeluarkan LHDN.

Najib dan Mohd Nazifuddin sebelum ini mencabar penghakiman terus yang dikenakan terhadap mereka, namun rayuan di Mahkamah Rayuan dan seterusnya Mahkamah Persekutuan ditolak.

Susulan itu, notis kebankrapan dikeluarkan terhadap kedua-duanya.

Mereka kemudian memohon penangguhan prosiding berkenaan, namun pada 29 Julai 2024, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Kamarul Aris Kamalluddin menolak permohonan tersebut.

Najib dan anaknya mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Tinggi, namun gagal, sekali gus membawa kepada rayuan di Mahkamah Rayuan.

AKAN MENYUSUL