Lelaki ditembak dua individu bermotosikal

Iklan
Polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti suspek dan motif kejadian.

BUKIT MERTAJAM - Seorang lelaki tempatan cedera di tapak tangan selepas dipercayai ditembak dua lelaki di sebuah bengkel kenderaan terpakai berhampiran kawasan perkuburan Cina, Jalan Sungai Lembu, Machang Bubok, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.05 petang apabila mangsa berusia 43 tahun didatangi dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal.

Iklan
Iklan

Menurutnya, salah seorang daripada suspek kemudian dipercayai melepaskan tembakan ke arah mangsa.

“Mangsa yang mengalami kecederaan kemudiannya melarikan diri ke kawasan perkuburan Cina bagi menyelamatkan diri manakala kedua-dua suspek turut melarikan diri dari lokasi kejadian.

Iklan

“Mangsa mengalami luka pada tapak tangan kanan selain patah tulang tapak tangan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Nik Aminuddin berkata, mangsa kemudian mendapatkan rawatan di hospital dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Iklan

Katanya, polis turut menemui beberapa barang kes yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian hasil pemeriksaan di tempat kejadian.

“Polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti suspek dan motif kejadian.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Muazzam Shaaban di talian 017-4825017.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berkaitan kejadian ini,” katanya.