Arsenal mahu bina ‘dinasti’ bola sepak Eropah

Iklan
Arsenal menyasarkan untuk mendominasi pentas bola sepak Eropah. FOTO: Agensi.

ARSENAL menyasarkan untuk memasuki era baharu yang menyaksikan mereka bukan sekadar menjulang trofi, malah mendominasi bola sepak England dan Eropah dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Ketua Eksekutif Arsenal, Richard Garlick berkata, kejayaan menamatkan kemarau 22 tahun untuk memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu hanya menjadi titik permulaan kepada cita-cita lebih besar kelab itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Arsenal kini mahu membina pasukan yang mampu bersaing secara konsisten untuk kejuaraan dan mengumpul lebih banyak trofi, termasuk Liga Juara-Juara.

"Kami sememangnya menikmati kejayaan itu dan kegembiraan yang ditunjukkan, tetapi kami juga sedar bahawa tugas belum selesai.

Iklan

"Kami melihatnya sebagai permulaan kepada sesuatu yang lebih besar. Kami mahu terus berkembang dan memenangi lebih banyak trofi.

"Sudah tentu, ia mengenai memenangi trofi dalam jumlah yang banyak," katanya.

Iklan

Arsenal bagaimanapun masih belum pernah menjuarai Liga Juara-Juara mahupun Liga Europa, dengan pencapaian terbaik mereka di pentas elit Eropah adalah muncul naib juara Liga Juara-Juara pada 2006.

Selepas memulakan musim baharu EPL dengan dua kemenangan, skuad kendalian Mikel Arteta itu kini mengintai peluang mempertahankan kejuaraan liga dan mencipta sejarah dengan memenanginya untuk musim kedua berturut-turut, sesuatu yang kali terakhir dilakukan kelab itu pada era 1930-an.

Garlick percaya Arsenal mempunyai asas untuk memasuki fasa dominasi sekiranya momentum kejayaan berkenaan dapat diteruskan.

"Saya mengimpikan kami menjadi juara berulang kali, mengulangi kejayaan tahun lalu dan kemudian melangkah lebih jauh dengan memenangi Liga Juara-Juara serta trofi utama yang lain.

"Anda boleh melihatnya sebagai permulaan kepada sebuah dinasti. Itulah sasaran kami.

"Kami mahu mendominasi bola sepak untuk beberapa tahun akan datang dalam setiap aspek," katanya.

Cabaran seterusnya Arsenal adalah pertemuan dengan Chelsea di Stadium Emirates, Ahad ini.

Chelsea turut hadir dengan rekod sempurna selepas memenangi dua aksi pembukaan Liga Perdana musim ini, sekali gus menjadikan pertembungan antara dua pasukan London itu sebagai ujian awal buat aspirasi The Gunners.