Guru besar perlu jadi ‘komander’ hadapi krisis sekolah

Iklan
Program tiga hari bermula 5 hingga 7 Ogos itu merupakan kolaborasi PPD Pasir Puteh, Kumpulan Karangkraf dan UPNM, disertai 20 Guru Besar dari seluruh jajahan Pasir Puteh di Taman Rimba Olak Jeram, Manek Urai, Kuala Krai.

KUALA KRAI - Guru besar perlu memiliki keupayaan bertindak seperti seorang ‘komander’ yang mampu membuat keputusan pantas, mengurus krisis dan menggerakkan pasukan ketika berdepan cabaran di sekolah.

Pensyarah Jabatan Pengurusan dan Logistik dan Pentadbiran Perniagaan, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Profesor Dr Mohd Abdullah Jusoh berkata, kepimpinan pendidikan tidak lagi hanya berkisar kepada pengurusan operasi sekolah, sebaliknya menuntut ketahanan diri serta keupayaan mengendalikan situasi mencabar.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, pengurusan krisis, disiplin pengurusan, kecekapan logistik dan keupayaan mengurus sumber merupakan antara elemen penting yang perlu dikuasai pentadbir sekolah bagi memastikan organisasi pendidikan terus berfungsi dengan berkesan.

"Dalam keadaan mencabar, seorang pemimpin perlu tenang, jelas dengan keputusan dan tahu bagaimana mengoptimumkan sumber yang ada," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berkongsi kepakaran dalam bidang pengurusan dan kepimpinan strategik pada Program Kem Jati Diri – Membentuk Karamah Insaniah Siri 2/2026 anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Puteh di Taman Rimba Olak Jeram, Manek Urai, di sini.

Muhammad Nasir (tengah) pada Program Kem Jati Diri, Membentuk Karamah Insaniah Siri 2/2026 anjuran PPD Pasir Puteh di Taman Rimba Olak Jeram, Manek Urai, Kuala Krai.

Iklan

Program tiga hari bermula 5 hingga 7 Ogos itu merupakan kolaborasi PPD Pasir Puteh, Kumpulan Karangkraf dan UPNM, disertai 20 Guru Besar dari seluruh jajahan Pasir Puteh.

Program itu turut menampilkan sesi perkongsian kepimpinan oleh Penasihat Bersama Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah yang memberi pendedahan mengenai pendekatan pengurusan sektor korporat khususnya berkaitan pengurusan masa, penetapan sasaran, pembuatan keputusan dan pengurusan sumber.

Gabungan pengalaman sektor korporat dan kepakaran akademik UPNM itu memberi perspektif lebih luas kepada guru besar dalam memperkukuh kompetensi kepimpinan serta menghadapi tuntutan pengurusan sekolah yang semakin mencabar

Muhammad Nasir (tengah) pada Program Kem Jati Diri, Membentuk Karamah Insaniah Siri 2/2026 anjuran PPD Pasir Puteh di Taman Rimba Olak Jeram, Manek Urai, Kuala Krai.

Mohd Abdullah berkata, aspek ketahanan jati diri turut penting kerana pemimpin sekolah berdepan persekitaran pendidikan yang semakin kompleks dan memerlukan keupayaan menyesuaikan gaya kepimpinan mengikut keadaan.

Ujar beliau, kekuatan kepimpinan tidak seharusnya hanya diukur melalui pencapaian akademik sekolah, sebaliknya turut merangkumi keupayaan membina pasukan, mengurus manusia dan memastikan setiap sumber digunakan secara optimum.

Dalam pada itu, jelasnya, konsep Karamah Insaniah yang diterapkan dalam program berkenaan perlu menjadi asas kepada kepimpinan yang mengimbangi kecekapan pengurusan dengan nilai empati, integriti, disiplin dan tanggungjawab.

"Pemimpin yang baik bukan hanya cekap membuat keputusan, tetapi memahami manusia yang dipimpinnya dan mampu membina kepercayaan dalam pasukan," katanya.