Dulu barista, kini bos kopi

Iklan
Serene Coffee turut terpilih sebagai antara 69 usahawan mikro menyertai kempen Merdeka BSN – Cerita Mereka, Jiwa Malaysia.

IPOH – Bermula sekadar daripada minat terhadap kopi dan pengalaman selama lima tahun sebagai barista, langkah berani seorang anak muda membuka gerai kecil dengan modal RM14,000 kini berkembang menjadi dua cawangan kafe yang semakin dikenali di bandar raya ini.

Pengasas Serene Coffee, Suhairi Ahmad Zaini, 26, berkata, perniagaan itu diusahakan bersama rakan niaganya, Mohamed Amir Daniel Mohamed Rasyeed, 27, yang berkongsi minat yang sama dalam bidang kopi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, idea menubuhkan Serene Coffee tercetus pada tahun 2024 selepas beliau menamatkan kerjayanya sebagai barista yang diceburi ketika berusia 19 tahun.

“Saya memang minat kopi dan sepanjang lima tahun bekerja sebagai barista, saya mempelajari banyak perkara termasuk teknik penyediaan kopi serta memahami cita rasa pelanggan,” katanya ketika ditemui Sinar Bisnes.

Iklan

Suhairi

Beliau berkata, perniagaan itu bermula secara kecil-kecilan menerusi sebuah gerai di Tambun dengan hanya dua tenaga kerja, iaitu dirinya dan rakan kongsi.

Iklan

Katanya, pada peringkat awal mereka hanya mengambil gaji minimum sekitar RM1,800 bagi memastikan aliran tunai perniagaan kekal stabil.

“Kami bermula dengan apa yang ada. Modal awal sekitar RM14,000 dikumpulkan bersama dan dikongsi sama rata. Ketika itu, semua urusan kami lakukan sendiri.

“Malah, keuntungan juga tidak diambil pada peringkat awal kerana kami melaburkannya semula ke dalam perniagaan bagi tujuan pengembangan,” katanya.

Usaha berterusan itu membuahkan hasil apabila Serene Coffee berjaya membuka cawangan kedua di Meru Raya kira-kira enam bulan selepas operasi cawangan pertama bermula.

Serene Coffee berjaya membuka cawangan kedua di Meru Raya kira-kira enam bulan selepas operasi pertama.

Menurutnya, antara kekuatan utama Serene Coffee ialah pendekatan kreatif dalam menghasilkan menu minuman yang berbeza daripada kebiasaan.

Katanya, trend di media sosial dijadikan sumber inspirasi sebelum diolah semula bagi menepati cita rasa tempatan yang lebih menggemari minuman berperisa seimbang dan sedikit manis.

“Contohnya, Watermelon Ice Jasmine Tea. Tidak semua premis menawarkan minuman seperti ini, jadi kami cuba mengetengahkan kelainan,” katanya.

Tambahnya, Serene Coffee menggunakan biji kopi dari pelbagai rantau termasuk Amerika Latin dan Indonesia yang digabungkan bagi menghasilkan profil rasa yang unik.

Salah satu menu yang mendapat sambutan pelanggan ialah Hauk Latte yang dinamakan sempena seorang rakan mereka.

“Ramai pelanggan menggemari Hauk Latte kerana rasanya lebih berlemak dan berbeza daripada latte biasa,” katanya.

Dalam pada itu, Suhairi mengakui cabaran utama dalam industri makanan dan minuman ketika ini ialah kenaikan harga bahan mentah.

Beliau berkata, bagi mengembangkan perniagaan, mereka turut mendapatkan pembiayaan daripada Bank Simpanan Nasional (BSN) berjumlah RM20,000.

Menurutnya, skim pembiayaan tersebut membantu menyediakan modal tambahan, khususnya untuk membuka cawangan baharu di Meru Raya.

“Bayaran bulanan juga rendah, iaitu sekitar RM400 dan tiada caj tersembunyi, jadi ia tidak membebankan kami,” katanya.

Beliau turut menasihatkan usahawan muda agar mendapatkan pembiayaan melalui saluran yang sah bagi mengelakkan diri daripada terjebak dengan pinjaman tidak berlesen.

“Jika ingin mendapatkan pembiayaan, pastikan ia melalui institusi kewangan yang sah. Jangan ambil risiko dengan ah long,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Serene Coffee turut terpilih sebagai antara 69 usahawan mikro yang menyertai kempen Merdeka BSN – Cerita Mereka, Jiwa Malaysia.

Menerusi kempen itu, sebanyak 5,500 'cup sleeves' atau lengan cawan bermotifkan batik yang diinspirasikan daripada 'uniform teller BSN' diedarkan kepada peserta sepanjang tempoh kempen dari 24 hingga 28 Ogos lalu.

Lengan cawan berkenaan dihasilkan oleh pelajar Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Shah Alam yang juga merupakan Sekolah Angkat MADANI BSN 2025.