NEW DELHI - Seorang bayi perempuan berusia tiga bulan dipercayai menjadi mangsa rogol oleh jirannya yang berusia 35 tahun di sebuah perkampungan di Mainpuri, Uttar Pradesh, India.
Polis memaklumkan suspek dikenali sebagai Jetendra ditahan pada Rabu selepas pihak berkuasa melakukan serbuan di beberapa lokasi persembunyiannya.
Kejadian dipercayai berlaku lewat petang Selasa ketika bayi berkenaan sedang berbaring di atas katil di dalam rumah, manakala ibunya sedang menyediakan makan malam dan bapanya melakukan kerja rumah.
Ketua Balai Polis Bewar, Anil Kumar Singh berkata, suspek yang tinggal berhampiran dan dikenali keluarga mangsa memasuki rumah sebelum bermain bersama bayi tersebut.
Menurutnya, lelaki terbabit kemudian membawa bayi itu keluar dari rumah, namun tindakannya tidak menimbulkan syak wasangka kerana keluarga berkenaan mengenalinya.
Kira-kira setengah jam kemudian, suspek dipercayai membawa mangsa pulang sebelum meletakkannya semula di atas katil dan beredar.
Anil Kumar berkata, ibu mangsa mula menyedari sesuatu tidak kena apabila bayinya menangis tanpa henti.
Ketika cuba menenangkan anaknya, wanita itu mendapati mangsa mengalami pendarahan serius pada bahagian sulit sebelum meminta bantuan.
Keluarga mangsa segera membawanya ke hospital daerah untuk mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun, mangsa kemudiannya dirujuk ke Kolej Perubatan Saifai berikutan keadaannya yang kritikal dan kini masih menerima rawatan.
Susulan kejadian itu, bapa mangsa membuat laporan polis pada Rabu.
Polis kemudian mendaftarkan kes terhadap Jetendra mengikut peruntukan undang-undang berkaitan sebelum melancarkan operasi mengesannya.
Suspek berjaya ditahan pada hari sama selepas polis menyerbu beberapa lokasi yang dipercayai menjadi tempat persembunyiannya.
Siasatan lanjut berhubung kejadian diteruskan. - Agensi