BANDAR GAZA - Krisis air bersih di Gaza semakin buruk selepas sebuah loji penyahgaraman yang baru beroperasi kira-kira dua bulan musnah dalam serangan Israel pada 24 Ogos lalu.
Loji yang terletak di kawasan Sheikh Radwan, Bandar Gaza itu sebelum ini menjadi antara sumber utama air minuman bersih bagi penduduk dan keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat perang.
Seorang penduduk, Zuhair al-Nasr, 74, berkata, dia kini terpaksa berjalan dari satu tempat ke tempat lain sambil membawa bekas air untuk mendapatkan bekalan bagi keluarganya.
Zuhair yang tinggal bersama keluarga besarnya di dalam khemah berkata, kehidupannya sebelum ini sedikit lebih mudah selepas paip dari loji berkenaan membolehkan penduduk memperoleh air bersih sepanjang hari.
“Air adalah nadi kehidupan kami. Kami memerlukannya untuk minum, memasak, mencuci dan mandi,” katanya.
Rumah Zuhair di Beit Hanoon, utara Bandar Gaza musnah dalam perang, menyebabkan dia bersama 13 anak dan lebih 20 cucunya terpaksa berpindah.
Pemilik loji, Mohammed Mahmoud, 53, berkata, kemudahan itu menyediakan air penyahgaraman secara percuma kepada 17 pusat perlindungan dan tempat penempatan penduduk.
Dia menganggarkan kerugian akibat kemusnahan loji itu sekurang-kurangnya AS$500,000 (RM2.02 juta), manakala mesin dan peralatan sahaja bernilai kira-kira AS$250,000 (RM1.01 juta)..
Kemusnahan loji tersebut berlaku ketika sebahagian besar penduduk Gaza sudah berdepan masalah mendapatkan bekalan air bersih.
Menurut tinjauan yang dipetik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kira-kira 90 peratus penduduk Gaza mengalami gangguan kerap dan tidak menentu terhadap bekalan air selamat untuk minuman, memasak serta kebersihan pada awal Julai.
Di Bandar Gaza, angka itu lebih tinggi iaitu 92 peratus.
Kira-kira 75 peratus penduduk Gaza pula masih bergantung kepada bekalan air melalui lori tangki sebagai sumber utama air minuman.
Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada Ogos melaporkan sehingga 63 peratus penduduk tidak mampu mendapatkan sekurang-kurangnya enam liter air bagi setiap individu sehari, iaitu paras minimum yang disyorkan untuk minuman dan memasak.
Seorang ibu kepada empat anak, Nada Arouqi, 36, berkata, lori air kadangkala hanya tiba dua hari seminggu, malah ada ketikanya langsung tidak muncul sepanjang minggu.
Dia mendedahkan seorang anaknya pernah dimasukkan ke hospital selama beberapa hari akibat masalah perut yang dikaitkan doktor dengan air digunakan keluarga mereka.
Ibu mentuanya, Maryam Arouqi, 60, pula berkata, dia terpaksa mengangkat bekas air beberapa kali sehari walaupun mengalami masalah kesihatan.
“Perjuangan kami mendapatkan air tidak pernah berakhir. Siapa boleh hidup tanpa air? Air adalah kehidupan,” katanya.
Insiden kemusnahan loji penyahgaraman itu sekali gus memburukkan lagi krisis air bersih di Gaza, menyebabkan penduduk terpaksa bergantung kepada bekalan lori tangki yang tidak menentu, sekali gus meningkatkan risiko masalah kesihatan dan menambah penderitaan mereka yang sudah kehilangan tempat tinggal akibat perang.
Keadaan itu turut menjejaskan usaha bantuan kemanusiaan kerana bekalan air yang terhad menyukarkan penduduk mendapatkan keperluan asas untuk minum, memasak dan menjaga kebersihan diri. - Agensi