Markas Polis Marin Tok Bali mula operasi November ini

Iklan
Markas PPM Wilayah Tiga, Tok Bali di Pasir Puteh yang bernilai RM80.01 juta akan mula beroperasi secara berperingkat November ini.

PASIR PUTEH - Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Tok Bali di sini bernilai RM80.01 juta akan mula beroperasi secara berperingkat pada November ini dengan kekuatan 110 pegawai dan anggota.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kemudahan itu bakal memperkukuh keupayaan operasi Polis Marin, khususnya dalam menangani pelbagai ancaman di perairan Pantai Timur.

Iklan
Iklan

Menurutnya, antara ancaman yang perlu ditangani termasuk penyeludupan dadah dan senjata api, pendaratan pendatang asing tanpa izin (PATI) serta pelarian, pencerobohan nelayan dan ancaman lain yang semakin kompleks.

"Dengan adanya kemudahan seperti ini, moral dan keyakinan pasukan polis akan menjadi lebih tinggi kerana perkhidmatan mereka disokong oleh kerajaan.

Iklan

"Mereka akan menjalankan tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan dengan lebih berkesan," katanya pada sidang media, Khamis.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Projek Siap Markas PPM Wilayah Tiga, Tok Bali di sini.

Iklan

Hadir sama, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.

Saifuddin Nasution (kiri) semasa Majlis Penyerahan Projek Siap Markas PPM Wilayah Tiga, Tok Bali di Pasir Puteh pada Khamis.

Saifuddin Nasution berkata, kompleks berkenaan turut dilengkapi bangunan pentadbiran, rumah bot, bengkel mekanikal, jeti, stor peluru, balai pengawal dan kemudahan sokongan operasi.

Katanya, aspek kebajikan anggota turut diberi perhatian menerusi penyediaan 82 unit kuarters, selain kemudahan taska dan tadika, surau berkapasiti 200 jemaah, dewan serbaguna, mes pegawai, kafeteria dan ruang pejabat PERKEP.

"Apabila anggota bertugas menjaga perairan, kita mahu kebajikan mereka dan keluarga berada dalam keadaan selamat serta terjamin," katanya.

Beliau berkata, kehadiran Polis Marin yang lebih kukuh turut memberi manfaat kepada komuniti Tok Bali, khususnya nelayan dan mereka yang bergantung kepada aktiviti ekonomi maritim.

"Apabila perairan lebih selamat, aktiviti harian rakyat dan usaha mereka mencari rezeki akan lebih terjamin, selain memastikan kedaulatan perairan negara terus dipelihara," katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata, Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mempunyai bidang tanggungjawab serta keupayaan aset yang berbeza mengikut peruntukan undang-undang masing-masing.