RESORTS World Genting (RWG) dan AGIBOT bekerjasama untuk membangunkan IP 'Robotics Performance' AGIBOT yang pertama di luar China, susulan pengenalannya di peringkat global pada Februari 2026.
Kerjasama strategik itu menggabungkan teknologi robotik canggih dengan mitologi Cina dan persembahan pentas secara langsung bagi menawarkan pengalaman hiburan baharu kepada pengunjung.
RWG dalam kenyataan berkata, pratonton eksklusif produksi berkenaan berlangsung pada 29 Ogos lalu di Genting International Showroom, sekali gus menjadi antara pencapaian penting dalam kerjasama kedua-dua pihak.
"Persembahan ini menampilkan 'Wukong Never Fades', sebuah produksi lima babak yang diinspirasikan daripada kisah legenda Sun Wukong, Raja Monyet, yang kekal sebagai ikon budaya Cina yang terkenal.
"Menggabungkan teknologi robotik dengan persembahan secara langsung, produksi ini menghidupkan elemen mitologi dan penceritaan Cina menerusi pergerakan, muzik serta penglibatan lebih daripada 40 robot.
"Dengan mengetengahkan tafsiran kontemporari terhadap legenda ikonik ini, produksi tersebut memperkenalkan kekayaan budaya Cina dalam bentuk hiburan yang inovatif dan mudah dinikmati oleh pelbagai lapisan penonton," katanya.
RWG berkata, Genting International Showroom yang mempunyai kapasiti 1,000 tempat duduk menjadi pentas kepada produksi yang menggabungkan teknologi robotik dengan elemen mitologi tradisional.
Robot AGIBOT pula memainkan pelbagai watak sepanjang persembahan, termasuk model daripada siri X2, A3 dan D1.
Menurutnya, produksi berkenaan direka untuk menarik minat keluarga, pengunjung antarabangsa serta peminat teknologi menerusi gabungan inovasi teknologi dan penceritaan budaya.
Pratonton itu menandakan satu pencapaian penting dalam hubungan strategik antara RWG dan AGIBOT selepas kedua-dua pihak memeterai memorandum persefahaman (MoU) pada 17 April 2026 di Shanghai sempena AGIBOT Global Partner Conference (APC 2026).
"MoU tersebut membuka peluang kerjasama dalam bidang taman tema, riadah, hospitaliti dan hiburan, dengan kerjasama itu mula diterjemahkan kepada pengalaman baharu untuk para pengunjung dalam tempoh lebih empat bulan.
"Dihasilkan menerusi kerjasama RWG dan AGIBOT, persembahan ini mencerminkan komitmen kedua-dua pihak untuk meneroka potensi teknologi robotik dalam mencipta pengalaman hiburan yang baharu dan berbeza," jelasnya.