Tindakan KPKS sah di sisi undang-undang

Iklan
KESUMA dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan, keputusan itu memberikan penegasan penting terhadap kuasa dan tanggungjawab statutori KPKS. Foto hiasan

PUTRAJAYA – Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan semakan kehakiman mengesahkan tindakan Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja (KPKS) dalam melaksanakan fungsi pengawalseliaan kesatuan sekerja adalah sah di sisi undang-undang.

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan, keputusan itu memberikan penegasan penting terhadap kuasa dan tanggungjawab statutori KPKS, termasuk dalam memastikan pematuhan terhadap syarat kelayakan seseorang untuk menjadi anggota dan memegang jawatan dalam kesatuan sekerja.

Iklan
Iklan

Menurut KESUMA, permohonan semakan kehakiman itu difailkan oleh Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Penyelenggaraan dan Pengurusan Sisa Semenanjung Malaysia susulan keputusan KPKS pada 9 Mei 2024 yang tidak mendaftarkan Kamarul Baharin Mansor sebagai Setiausaha Kesatuan bagi sesi 2023/2026 berikutan isu berkaitan status pekerjaan beliau.

Ujar kementerian itu, mahkamah menolak permohonan semakan kehakiman berkenaan dan memerintahkan pemohon membayar kos sebanyak RM5,000.

Iklan

"Mahkamah turut memutuskan tindakan KPKS adalah sah di sisi undang-undang berdasarkan kuasa siasatan yang diperuntukkan di bawah Seksyen 4A Akta Kesatuan Sekerja 1959," katanya.

Jelas KESUMA, keputusan itu turut memperkukuh kedudukan KPKS dalam melaksanakan fungsi pengawalseliaan kesatuan sekerja, khususnya berkaitan pematuhan syarat kelayakan individu untuk menjadi anggota dan memegang jawatan dalam kesatuan.

Iklan

Dalam pada itu, kementerian menegaskan kebebasan berkesatuan hendaklah dilaksanakan dalam kerangka undang-undang.

Menurutnya, hak pekerja untuk menubuhkan, menyertai dan mengambil bahagian dalam kesatuan sekerja kekal dihormati dan dilindungi, manakala syarat serta kelayakan yang ditetapkan oleh undang-undang hendaklah dipatuhi.

"KESUMA akan terus memperkukuh kebebasan berkesatuan dan tadbir urus kesatuan sekerja yang baik selaras dengan kerangka perundangan negara.

“Kedaulatan undang-undang akan terus menjadi asas dalam memastikan hak pekerja dan kesatuan sekerja dilindungi serta ekosistem perburuhan negara kekal adil, teratur dan harmoni,” jelasnya.