PASIR PUTEH - Isu keselamatan dan dakwaan kegiatan penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand perlu diurus menerusi mekanisme rasmi kedua-dua negara dan tidak dicampuradukkan dengan sentimen atau emosi, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menurut beliau, dakwaan termasuk berkaitan cubaan membolosi sempadan atau kegiatan yang mempunyai kaitan dengan keselamatan kedua-dua negara perlu diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan sebelum sebarang kesimpulan dibuat.
Jelasnya, Malaysia dan Thailand mempunyai beberapa saluran rasmi bagi menangani isu sempadan dan keselamatan termasuk melalui Border Working Group (BWG) yang menjadi platform perbincangan antara kedua-dua negara.
"Di peringkat kerajaan dengan kerajaan (G to G), kita ada jawatankuasa bersama berkaitan sempadan dan keselamatan yang dikenali sebagai Border Working Group (BWG).
"Di peringkat penguat kuasa pula, polis kedua-dua negara mempunyai saluran Polis dengan Polis (P to P) yang boleh digunakan pada bila-bila masa sekiranya memerlukan kerjasama atau perbincangan berkaitan keselamatan," katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.
Sebelum itu beliau merasmikan Majlis Penyerahan Projek Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Tok Bali di sini.
Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.
Saifuddin Nasution memberitahu, saluran berkenaan membolehkan kedua-dua pihak menyampaikan apa sahaja perkara yang menjadi perhatian masing-masing berkaitan isu sempadan dan keselamatan.
Ujarnya, hubungan antara Malaysia dan Thailand turut diperkukuhkan menerusi hubungan people-to-people berikutan kedua-dua negara mempunyai sejarah hubungan kejiranan yang panjang.
"Kalau pihak Thailand ada perkara yang menjadi perhatian mereka, mereka akan sampaikan kepada kita. Begitu juga kita akan sampaikan apa sahaja perkara dalam konteks isu sempadan dan keselamatan.
"Sebab itu apabila menguruskan hubungan dua negara, ia tidak boleh berdasarkan sentimen dan emosi semata-mata kerana kita ada tanggungjawab besar kepada rakyat," katanya.
Dalam pada itu, Saifuddin enggan mengesahkan atau menafikan sama ada wujud cubaan membolosi sempadan antara Thailand dan Malaysia seperti yang didakwa.
Menurut beliau, isu berhubung dakwaan pembolosan sempadan serta senarai individu dikehendaki di kedua-dua negara bukan perkara baharu dan sudah diperkatakan sejak berdekad lalu.
"Saya tidak mahu jawab ‘ya’ atau ‘tidak’ kerana perkara ini sudah diperkatakan berdekad lama.
"Saya cuma tekankan bahawa sekarang sedang berjalan urusan menguruskan perkara ini melalui mekanisme sedia ada dan kita guna pakai sebaik-baiknya," katanya.