PASIR PUTEH - [DIKEMAS KINI] Dakwaan baja subsidi di bawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) dari Malaysia digunakan untuk menghasilkan alat letupan buatan sendiri (IED) oleh kumpulan pemisah di selatan Thailand perlu disiasat terlebih dahulu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, laporan media berhubung dakwaan itu tidak wajar dipandang ringan, kerana ia membabitkan aspek keselamatan dan hubungan dua hala Malaysia-Thailand.
Menurutnya, pihak berkuasa kedua-dua negara mempunyai saluran sedia ada untuk meneliti sebarang dakwaan berkaitan keselamatan di kawasan sempadan, termasuk penggunaan bahan dari Malaysia yang dipercayai digunakan dalam pembuatan bom.
"Kalau ada dakwaan seperti itu, ia perlu disiasat. Kita ada mekanisme untuk membincangkan perkara seperti ini dengan pihak Thailand," katanya ketika sidang media pada Khamis.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Projek Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Tok Bali di sini.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.
Sebelum ini, media melaporkan baja subsidi di bawah SBPKP yang dibekalkan anak syarikat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dikesan digunakan sebagai bahan menghasilkan IED oleh kumpulan pemisah di selatan Thailand.
Ia selepas pihak berkuasa Thailand merampas kira-kira 520 kilogram baja urea berkenaan dalam satu operasi di Mukim Koh Sathon, Tak Bai, selatan Thailand pada Jumaat lalu.
Saifuddin Nasution berkata, antara mekanisme yang boleh digunakan untuk membincangkan perkara itu ialah hubungan kerajaan dengan kerajaan (G2G) menerusi Jawatankuasa Pengurusan Keselamatan Sempadan Malaysia-Thailand, selain kerjasama polis dengan polis (P2P).
Katanya, mekanisme berkenaan membolehkan sebarang perkara yang menimbulkan kebimbangan antara kedua-dua negara dibawa ke meja perbincangan untuk tindakan lanjut.
"Kita tidak mahu melindungi apa-apa salah laku, tetapi dalam masa sama janganlah kita menambahkan bahang atau syak wasangka antara kedua-dua negara.
"Biarlah pasukan keselamatan Malaysia dan Thailand menyiasat melalui mekanisme yang telah tersedia," katanya.