Adik maut, abang kritikal kemalangan ketika bercuti di Indonesia, keluarga rayu bantuan RM50,000

Iklan
Dari kiri: Tarmizi, isteri,Nurfarrhana, Muhammad Aqil Absyar, Muhammad Atiqullah dan Adam bergambar kenangan dalam percutian berkenaan. Gambar kanan: Jenazah Muhammad Atiqullah yang juga penuntut UiTM dikebumikan di Tanah Perkuburan Dunguswiru, Kecamatan Subang Kota, Indonesia.

PUTRAJAYA – Keluarga Ahmad Tarmizi Hazmee, yang terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika bercuti di Indonesia, Ahad lalu merayu bantuan orang ramai bagi menampung kos dan rawatan perubatan yang dianggarkan RM50,000.

Abang sulungnya, Ahmad Bukhari Hazmee berkata, setakat ini, pihak keluarga telah membelanjakan RM30,000 bagi membolehkan beberapa prosedur perubatan termasuk pembedahan dilakukan ke atas Ahmad Tarmizi, 30, yang kini dirawat di Rumah Sakit Mitra Plumbon Subang, Jawa Barat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keadaan Ahmad Tarmizi yang separuh sedar dan masih memerlukan bantuan alat pernafasan turut menyebabkan doktor mempertimbangkan kemungkinan memindahkannya ke hospital di Jakarta berikutan kekurangan peralatan di hospital berkenaan.

"Jadi kami merayu sumbangan orang ramai untuk menampung keperluan perubatan Ahmad Tarmizi di sana," katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Beliau berkata, kecederaan dialami Ahmad Tarmizi antaranya patah tulang rahang kepada tiga bahagian, tulang pipi hancur dan hentakan yang kuat di kepala telah menyebabkan berlaku pendarahan dan bengkak otak.

"Pembedahan pertama telah dilakukan pada isnin bermula jam 8 pagi hingga 5 petang. Doktor menghentikan bius buat sementara bagi melihat reaksi Ahmad Tarmizi dan mendapati dia menunjukkan pergerakan termasuk cuba mengubah posisi badannya.

Iklan

"Bius diberikan semula bagi membolehkan dia berehat dan pulih," ujarnya.

Mengulas mengenai insiden, Ahmad Bukhari berkata, adiknya bercuti bersama isteri, anak dan dua adiknya yang masing- masing mahasiswa UiTM Shah Alam.

"Kejadian berlaku pada awal pagi 30 Ogos sewaktu Ahmad Tarmizi, isteri, anak dan dua adik dari Yogyakarta (Jogja) menuju Jakarta untuk pulang ke Malaysia," jelas beliau.

Menurut beliau, laporan pihak berkuasa tempatan menyebut kemalangan tersebut membabitkan kenderaan yang dipandu Ahmad Tarmizi, Toyota Avanza dengan sebuah lori.

"Semasa kejadian, semua tidur dan apabila polis sampai di lokasi, lori berkenaan telah tiada," kata Ahmad Bukhari.

Ujarnya, insiden tersebut juga meragut nyawa adik bongsu mereka, Muhammad Atiqullah, 22, dan jenazah dikebumikan dikebumikan di Tanah Perkuburan Dunguswiru, Kecamatan Subang Kota, Indonesia pada hari sama dengan bantuan pihak kedutaan.

"Isteri Ahmad Tarmizi, anak dan adik iaitu Adam,23, hanya mengalami kecederaan ringan. Ibu dan ayah juga telah berlepas ke sana sehari selepas kejadian," katanya.

Sehubungan itu, keluarga berkenaan memohon sumbangan orang ramai bagi membantu menampung kos rawatan, pembedahan dan hospital yang dianggarkan sekitar RM50,000.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank atas nama Ahmad Bukhari Hazmee di nombor 503051552097, dengan catatan ‘Tarmizi’.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Ahmad Bukhari di talian 019-761 7318.