PARIT – Kegiatan perlombongan bitcoin yang dipercayai menggunakan bekalan elektrik secara haram di sekitar kawasan Seri Iskandar di sini terus dibanteras menerusi satu operasi khas pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah berkata, operasi berkenaan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah dengan kerjasama pasukan jurutera SEAL Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Menurutnya, pemeriksaan mendapati terdapat premis yang melakukan penyambungan wayar secara haram bagi menjalankan aktiviti perlombongan bitcoin.
"Dalam serbuan itu sebanyak 30 mesin perlombongan bitcoin, sebuah router internet, sebuah desktop switch, satu gulung wayar elektrik serta dua kenderaan iaitu Perodua Myvi dan Perodua Axia dirampas.
"Polis turut menahan dua lelaki warga tempatan bagi membantu siasatan berhubung kegiatan berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Hafezul Helmi berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990.
Katanya, pihak polis memandang serius kegiatan perlombongan mata wang kripto yang menggunakan penyambungan elektrik secara haram kerana bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi menyebabkan kerugian besar kepada pembekal utiliti dan meningkatkan risiko kebakaran.
Beliau juga menasihati orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti perlombongan mata wang kripto secara haram kepada pihak polis agar siasatan dapat dijalankan bagi mencegah dan membanteras jenayah kecurian elektrik.