Kalau kita cerita di khalayak ramai, mana mereka nak letak air muka?

Iklan
Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika di temui media selepas walkabout di Brinchang, di sini, hari ini.

CAMERON HIGHLANDS - Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan tidak wajar isu bekas wakil rakyat yang ingin kembali kepada Umno digembar-gemburkan.

Menurut beliau, ini kerana enam Ahli Parlimen yang diperkatakan itu juga mempunyai maruah.

Iklan
Iklan

"Mengenai enam Ahli Parlimen itu saya tak dapat maklumat pun dan tak wajar kita gembar-gemburkan. Kalau kita cerita di khalayak ramai, mana mereka nak letak air muka?

"Jika betul kita ikhlas nak mereka balik, biarkan mereka boleh sedar sendiri. Tapi kalau dah heboh dalam media sosial, mereka pun ada maruah," katanya ketika di temui media selepas walkabout di Brinchang, di sini, hari ini.

Iklan

Sebelum ini, tersebar spekulasi enam ahli Parlimen yang keluar Umno berhasrat menyertai semula parti.

Mereka ialah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin

Iklan

Selain itu ia turut melibatkan Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh; Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Selain dikatakan permohonan mereka untuk menyertai Bersatu ditolak, mereka juga menerima tekanan berdepan tindakan saman daripada Umno.

Dalam pada itu, bekas Naib Presiden Umno itu berharap semua spekulasi yang membawa kepada fitnah dihentikan.

"Cukup-cukuplah kita melayani spekulasi dan konspirasi. Saya sendiri jadi mangsa dah sembilan bulan selepas PRU14 kononnya nak bawa 30 Ahli Parlimen keluar parti.

"Jadi benda ni cukup-cukuplah. Saya tengok orang yang nak cari makan buat spekulasi," katanya.