KOTA BHARU - Dewan Pemuda Pas meluluskan usul supaya semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi parti itu pada pilihan raya sebelum ini kekal ditandingi calon Pas pada pilihan raya akan datang.
Usul dibentangkan Dewan Pemuda Pas Padang Terap itu diterima sebulat suara tanpa bahas pada Muktamar Dewan Pemuda Pas ke-67 di sini pada Rabu.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, keputusan itu dibuat bagi memelihara amanah serta keyakinan pengundi yang sudah memilih Pas sebagai wakil mereka.
“Usul Padang Terap dipersetujui semua jawatankuasa usul termasuk mesyuarat di peringkat Pemuda Pusat bagi memastikan kerusi Parlimen dan DUN yang dimenangi Pas perlu dikekalkan dan ditandingi Pas pada pilihan raya akan datang dalam sebarang bentuk kerjasama politik dengan sesiapa sahaja.
Pas memenangi 43 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan menguasai lebih 150 kerusi DUN selepas beberapa siri Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuk PRN 2023.
Khairul Nadzir berkata, empat lagi usul turut diluluskan dalam muktamar berkenaan dengan tiga diterima untuk dibahaskan manakala satu lagi diterima tanpa bahas.
Menurutnya, antara usul yang diterima untuk dibahaskan ialah mendesak kerajaan segera membuka kertas siasatan dan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat secara bebas, telus dan menyeluruh dakwaan kewujudan jaringan mafia korporat.
Katanya, siasatan itu melibatkan dakwaan jaringan berkenaan yang dikatakan membabitkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat berkepentingan serta projek berkaitan kerajaan.
“Usul ini susulan pendedahan media antarabangsa yang berpotensi menjejaskan integriti dan tatakelola pentadbiran, mencemarkan reputasi Malaysia serta menggugat keyakinan pelabur terhadap negara,” katanya.
Dalam pada itu, usul mengenai agenda Penyatuan Ummah turut diluluskan bagi memperkukuh kesatuan serta representasi politik Melayu-Islam di Parlimen menjelang PRU akan datang.
Usul berkenaan turut mencadangkan Himpunan Penyatuan Ummah berskala besar digerakkan sebelum PRU sebagai langkah awal untuk menghimpunkan kekuatan umat, membina momentum kebersamaan serta menterjemahkan aspirasi penyatuan kepada gerakan rakyat yang tersusun dan berimpak.
Muktamar itu turut meluluskan usul mendesak kerajaan memperkenalkan kerangka kawal selia e-dagang yang lebih tegas bagi melindungi dan memperkasa daya saing usahawan tempatan.