SUBANG JAYA – Sambutan Ambang Merdeka ke-69 di Taman Pinggiran USJ1 di sini tampil berbeza apabila golongan muda dan warga emas diraikan bersama menerusi pelbagai aktiviti komuniti, termasuk pertandingan eSport.
Program anjuran Persatuan Penduduk Taman Pinggiran USJ1 (TPUSJ1) itu menghimpunkan penduduk pelbagai kaum dan peringkat usia dalam usaha menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan selain mengeratkan hubungan kejiranan.
Pengerusi TPUSJ1, Azam Faadi Md Morshid berkata, pemilihan eSport sebagai antara acara utama bertujuan mendekati golongan muda yang semakin dekat dengan dunia permainan digital.
Menurutnya, pertandingan secara bersemuka memberi peluang kepada golongan berkenaan bukan sahaja untuk bersaing secara sihat, malah mengenali rakan dan komuniti di kawasan kejiranan mereka.
“Ramai anak muda hari ini bermain eSport secara individu atau dalam talian tanpa benar-benar mengenali siapa yang berada di sekeliling mereka.
“Dengan mengadakan pertandingan secara bersemuka, mereka bukan sahaja dapat bersaing secara sihat, tetapi juga berkenalan, membina persahabatan dan mengenali komuniti mereka sendiri,” katanya.
Selain eSport, program turut dimeriahkan dengan aktiviti sukan rakyat dan santai seperti ping pong, karom dan dart yang disertai penduduk TPUSJ1 serta komuniti dari kawasan perumahan berhampiran.
Dalam masa sama, TPUSJ1 turut memberi perhatian kepada golongan warga emas apabila penduduk berusia 69 tahun ke atas diraikan menerusi program santunan khas.
Golongan berkenaan menerima sumbangan barangan keperluan harian sebagai tanda penghargaan terhadap generasi yang telah melalui sebahagian perjalanan pembangunan negara.
Pemilihan usia 69 tahun ke atas itu mempunyai simbolik tersendiri bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69, selain mempertemukan generasi terdahulu dengan golongan muda yang bakal mewarisi masa depan negara.
Program turut diserikan dengan Jualan Rahmah yang memberi peluang kepada penduduk mendapatkan barangan pada harga berpatutan, selain membuka ruang kepada komuniti setempat menjual makanan dan minuman bagi menjana pendapatan.
Sokongan turut diterima daripada premis perniagaan sekitar kawasan berkenaan yang menaja hadiah cabutan bertuah untuk penduduk, dengan hadiah utama berupa televisyen berukuran 65 inci.
Kemuncak sambutan berlangsung tepat jam 12 tengah malam apabila penduduk bersama-sama menyanyikan lagu Negaraku sebelum pertunjukan bunga api menerangi langit.
TPUSJ1 berharap program berkenaan dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai platform memperkukuh hubungan kejiranan serta membentuk komuniti yang lebih aktif, inklusif dan saling mengambil berat.