KOTA TINGGI - Seramai tujuh pelajar tahfiz dari Madrasatul Quran Ar-Redha mengambil inisiatif melaungkan azan, menunaikan solat hajat dan membaca doa selamat di Pantai Tanjung Lompat, Bandar Penawar pada Khamis sebagai ikhtiar membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga remaja yang masih belum ditemui.
Mudir madrasah, Muhammad Redza Imran Abdullah berkata, inisiatif itu dilaksanakan sebagai ikhtiar membantu operasi SAR yang masuk hari kedua.
Menurutnya, tujuh pelajar berusia antara 11 hingga 17 tahun yang sudah khatam al-Quran terbabit selepas mendapat keizinan keluarga mangsa.
“Ini usaha kita untuk meminta pertolongan daripada ALLAH selain operasi yang sedang dilaksanakan pasukan penyelamat,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Khamis.
Dalam kejadian pagi Rabu, enam remaja berusia 16 tahun dilaporkan lemas selepas mandi di Pantai Tanjung Lompat sebelum dua daripadanya berjaya diselamatkan orang awam.
Operasi SAR yang diaktifkan sejurus kemudian berjaya menemukan salah seorang mangsa, Alif Taqiudin Kamal Hasrul Mohamad, pada jam 1.15 tengah hari, kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.
Radius pencarian pada hari kedua pula diperluaskan sehingga dua batu nautika termasuk menerbangkan dua dron semasa air pasang bagi melihat kemungkinan tiga lagi mangsa iaitu Mohamad Haiman Fitri Supian, Muhammad Adib Hafiy Kamal dan Muhammad Thaqif Rayyan Rumainoor dihanyutkan ke kawasan pantai lain.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar, Fauziah Misri yang hadir meninjau operasi SAR dan bertemu keluarga mangsa berkata, insiden melibatkan empat pelajar tersebut amat mendukacitakan.
Ujar beliau, kawasan pantai berkenaan sebenarnya tidak dibuka kepada orang awam bagi aktiviti berkelah dan kebenaran hanya untuk nelayan menangkap ikan.
“Kawasan ini juga tidak diselenggarakan mana-mana pihak, justeru perbincangan akan dibuat dengan pihak berwajib untuk tindakan selanjutnya,” katanya.