22 masjid meriahkan aksi bola merdeka

Iklan
Zulkifli (belakang, sembilan dari kiri) memeriahkan Kejohanan Bola Sepak Antara Masjid Seluruh Malaysia di Bangi.

SEMANGAT kemerdekaan diterjemahkan menerusi aksi di padang apabila 22 masjid dari seluruh negara bergabung tenaga dalam Kejohanan Bola Sepak Antara Masjid Seluruh Malaysia Piala Yang Berhormat (YB) Menteri Hal Ehwal Agama 2026, di Padang ILSAS, Bangi.

Berlangsung dengan tema ‘Aksi Bola Merdeka’, kejohanan anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menerusi Kelab Bola Sepak MAIWP (MAIWP FC) itu bukan sekadar medan mencari pasukan terbaik, sebaliknya menjadi platform mengeratkan hubungan komuniti masjid serta mendekatkan golongan muda dengan institusi berkenaan.

Iklan
Iklan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, peranan masjid perlu diperluaskan sebagai pusat yang bukan hanya tertumpu kepada ibadah, malah turut merangkumi pendidikan, kebajikan, kesukarelawanan, riadah dan pembangunan masyarakat.

Menurutnya, bola sepak mengajar nilai kerjasama kerana kejayaan tidak mampu dicapai secara bersendirian.

Iklan

“Bola sepak mengajar kita bahawa sehebat mana pun seorang pemain, dia tidak mampu menang bersendirian. Begitu juga dalam membangunkan ummah. Kita perlu bergerak bersama, saling melengkapi dan saling menguatkan,” katanya.

Beliau berkata, penyertaan 22 masjid itu membawa makna lebih besar kerana ia menghimpunkan komuniti daripada latar berbeza dalam satu wadah persaudaraan.

Iklan

Katanya, meskipun pemain hadir mewakili masjid dan negeri berbeza, mereka tetap disatukan oleh semangat kebersamaan serta Jalur Gemilang selaras dengan tema ‘Aksi Bola Merdeka’.

Juara kejohanan bakal membawa pulang wang tunai RM3,000 bersama piala pusingan dan medal.

Pasukan terbaik turut berpeluang beraksi dalam perlawanan persahabatan bersama MAIWP FC dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Kejohanan itu turut membawa mesej menerusi slogan MAIWP FC, ‘Bukan Sekadar Bola Sepak, Kita Adalah Satu Komuniti’, yang menekankan bahawa persaingan di atas padang tidak seharusnya memutuskan hubungan persaudaraan selepas perlawanan.