KUALA LUMPUR - Cadangan pembinaan Hospital Majlis Amanah Rakyat (Mara) tidak wajar dikaitkan dengan sentimen perkauman kerana ia bukan bersifat eksklusif kepada golongan bumiputera semata-mata, kata Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Asyraf Wajdi menegaskan, penubuhan hospital tersebut sebaliknya melengkapkan ekosistem pendidikan, keusahawanan dan kesihatan agensi berkenaan demi manfaat semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang mahupun kaum.
Pada hemat beliau, naratif sempit bersangkut-paut perkauman tak sepatutnya dijadikan modal pertikaian kerana etika profesion perubatan itu sendiri menuntut pemberian perkhidmatan rawatan secara adil dan saksama kepada sesiapa sahaja.
Tegasnya lagi, Mara telah melahirkan puluhan ribu doktor, jururawat dan pakar dalam pelbagai bidang, selain memiliki ekosistem lengkap pendidikan bagi program perubatan, kejururawatan, bioperubatan serta teknologi kesihatan.
"Mara ketika ini mempunyai Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (UniKL-RCMP) di Ipoh yang menawarkan program kedoktoran, namun belum mempunyai hospital sendiri sebagai pusat latihan pelajar.
"Sudah menjadi perkara biasa bagi mana-mana universiti yang menawarkan program kedoktoran untuk memiliki hospital sebagai tempat latihan doktor. Jadi, ia bukan sesuatu yang luar biasa.
"Hospital Mara ini untuk semua. Kita tidak akan memilih pesakit dan daripada sudut etika profesionalisme doktor, tidak boleh memilih pesakit berdasarkan kaum," katanya.
Setiausaha Agung UMNO itu berkata demikian ketika sidang akhbar Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 bertempat di Auditorium UMNO Aras 4 Menara Dato' Onn Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini pada Khamis.
PAU 2026 yang turut bersiaran secara langsung di platform digital UMNO Online dari 9 hingga 12 September ini dijangka membahaskan hala tuju dan masa depan parti dalam kerangka Kerajaan Perpaduan.
Pada 24 Ogos lalu, Mara secara rasmi memulakan langkah ke arah merealisasikan penubuhan hospital pengajar pertamanya menerusi pembentukan pasukan khas bagi memperincikan pelan strategik agensi berkenaan.
Inisiatif itu dilihat tepat pada masanya memandangkan Mara sudah berdekad lamanya berjaya melahirkan ribuan pakar perubatan, jururawat serta ahli farmasi melalui UniKL-RCMP.
Asyraf Wajdi sebelum ini memaklumkan, langkah itu melengkapkan ekosistem menyeluruh Mara yang merangkumi gabungan kepakaran sains perubatan, kejuruteraan bioperubatan dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kesihatan di bawah satu bumbung.