KUALA LUMPUR - Seramai 6,401 delegasi UMNO tidak termasuk pemerhati dan orang awam dijangka membanjiri Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada hari persidangan perwakilan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026.
Menyifatkan PAU sebagai 'hari raya' bagi keluarga besar UMNO, Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, persidangan tahunan itu membabitkan sayap induk seramai 2,922 orang memenuhi Dewan Merdeka manakala sayap Pergerakan Wanita UMNO (1,163), sayap Pergerakan Pemuda UMNO (1,171) dan Pergerakan Puteri UMNO (1,145).
Menurut beliau, perwakilan UMNO Siswa Dalam Negara dan Kelab UMNO Luar Negara turut dilibatkan dalam perhimpunan kali ini.
"Kita mengharapkan PAU menjadi medan terbaik untuk muhasabah dan melakukan introspeksi (penilaian) dalaman parti.
"Apakah kita benar-benar melaksanakan proses transformasi parti yang diharapkan dalam PAU 2025 tentang berlapang dada dan menerima kembali penyertaan ahli-ahli lama ke dalam Rumah Bangsa, itu tema tahun lepas.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar PAU 2026 di Auditorium UMNO Aras 4 Menara Dato' Onn WTCKL pada Khamis.
PAU 2026 yang turut bersiaran secara langsung di platform digital UMNO Online dari 9 hingga 12 September ini dijangka menerima kehadiran lebih 50,000 pengunjung disebabkan peningkatan permohonan penyertaan sejak akhir-akhir ini.
Lebih 120 gerai jualan dibuka bermula 8 hingga 12 September bagi memberi peluang kepada usahawan muda bumiputera menjana pendapatan.
Asyraf Wajdi memaklumkan, perhimpunan kali ini menerima usul dari 157 bahagian di mana inisiatif Rumah Bangsa serta hal atuju dan kerjasama politik UMNO dalam kerangka Kerajaan Perpaduan antara topik popular untuk dibangkitkan.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa kepimpinan tertinggi UMNO tidak akan menyekat usaha perwakilan negeri untuk membahaskan apa sahaja isu, termasuk topik-topik hangat yang membabitkan kepentingan awam di media sosial.
Jelasnya, UMNO mengamalkan prinsip keterbukaan dalam konteks tersebut kerana pembahas biasanya dipilih oleh perhubungan negeri masing-masing untuk mewakili suara hati akar umbi bagi mengemukakan sesuatu usul.
"Apa yang dibangkitkan bukan suara individu, tetapi ia suara kolektif akar umbi daripada cawangan, bahagian dan negeri masing-masing.
"Jadi, tidak wajar sekiranya ibu pejabat mengehadkan apa yang boleh dan tidak boleh.
"Biarlah mereka menyuarakan apa sahaja kalau isu terkini yang berbangkit itu boleh menentukan halatuju terbaik parti di mana Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang membuat keputusan," ujarnya.