Pulau Pinang negeri pertama iktiraf Perayaan Hantu Lapar, tanah perkuburan sebagai warisan

Iklan
Perayaan yang berlangsung selama sebulan pada bulan ketujuh kalendar lunar Cina dengan kemuncaknya pada hari ke-15 itu antara warisan budaya masyarakat Cina yang mendapat pengiktirafan kerajaan negeri kerana mempunyai nilai sejarah dan budaya yang signifikan.

GEORGE TOWN - Perayaan Teong Guan Phor Thor atau lebih dikenali sebagai Perayaan Hantu Lapar diangkat sebagai item Warisan Kebudayaan Tidak Ketara (Perayaan) Pulau Pinang di bawah Enakmen Warisan Negeri Pulau Pinang 2011 (Enakmen 14).

Selain perayaan berkenaan, Tanah Perkuburan Kwangtung & Tengchow No 1 turut diiktiraf sebagai tapak warisan di negeri ini.

Iklan
Iklan

Ini menjadikan Pulau Pinang merupakan negeri pertama yang membuat pengiktirafan tersebut.

Perayaan yang berlangsung selama sebulan pada bulan ketujuh kalendar lunar Cina dengan kemuncaknya pada hari ke-15 itu antara warisan budaya masyarakat Cina yang mendapat pengiktirafan kerajaan negeri kerana mempunyai nilai sejarah dan budaya yang signifikan.

Iklan

Menurut Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, perayaan berkenaan melibatkan ritual penghormatan kepada nenek moyang serta roh yang dipercayai berkeliaran sepanjang tempoh tersebut.

“Atas nilai sejarah dan budaya tersebut, pada 8 April lalu, kerajaan negeri telah meluluskan pencalonan Perayaan Teong Guan Phor Thor untuk diisytiharkan sebagai Warisan Negeri dan seterusnya diwartakan sebagai Warisan Negeri Pulau Pinang berkuat kuasa pada 25 Jun 2026,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini pada Khamis.

Iklan

Kon Yeow menambah, pencalonan itu melalui saringan dan tapisan terperinci oleh pakar menerusi Jawatankuasa Pakar Warisan Kebudayaan Tidak Ketara (Sosiobudaya) sebelum mendapat pengesahan Majlis Warisan Negeri dan kelulusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

"Pengiktirafan berkenaan bukan sekadar bertujuan memelihara dan memulihara amalan tradisi berkenaan malah turut mengangkat kepelbagaian perayaan masyarakat majmuk sebagai sebahagian daripada identiti Pulau Pinang.

“Item Warisan Kebudayaan Tidak Ketara ini mempunyai nilai sejarah dan budaya yang telah lama diamalkan oleh kaum Cina yang menganut ajaran Tao dan beragama Buddha di negeri Pulau Pinang.

“Hari ini, kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk mengangkat perayaan ini sebagai Warisan Negeri bukan sahaja untuk tujuan pemeliharaan dan pemuliharaan tetapi juga mempromosikan perayaan masyarakat majmuk di negeri ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri turut meluluskan penetapan enam tapak sebagai Tapak Warisan di bawah Enakmen 14.

Menurutnya, Warta Notis Penetapan Tapak Sebagai Tapak Warisan bagi kesemua tapak berkenaan telah diserahkan kepada Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri bagi urusan pewartaan rasmi.

"Enam tapak tersebut ialah Stesen Atas dan Stesen Bawah serta Landasan Funikular Bukit Bendera, Makam Dato Koyah, Tokong Thai Pak Koong (Ng Suk), Lebuh King, Bangunan Persatuan Fooi Chew, Tokong Loo Pun Hong dan

Tanah Perkuburan Kwangtung & Tengchow No 1.

"Kesemua tapak berkenaan mempunyai latar belakang sejarah yang signifikan dalam perkembangan Pulau Pinang dan telah melalui saringan ketat oleh Jawatankuasa Pakar Warisan Kebudayaan Ketara (Alam Bina)," ujarnya.

Menurutnya, usaha mengenal pasti, melindungi, memelihara dan mengangkat warisan berkenaan dilaksanakan menerusi Pejabat Pesuruhjaya Warisan Negeri Pulau Pinang berdasarkan Enakmen Warisan Negeri Pulau Pinang 2011 serta Peraturan-peraturan Warisan Negeri Pulau Pinang 2016.

“Ini membuktikan usaha pemuliharaan warisan di Pulau Pinang merangkumi kedua-dua dimensi iaitu warisan yang diamalkan oleh masyarakat dan warisan fizikal yang membentuk landskap sejarah negeri.

“Sebagai makluman, Perayaan Teong Guan Phor Thor serta enam Tapak Warisan ini akan diisytiharkan dan ditetapkan secara rasmi dalam Majlis Perisytiharan Warisan Negeri dan Penetapan Tapak Warisan pada 10 Oktober 2026,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri berharap lebih banyak warisan kebudayaan Pulau Pinang dapat dikenal pasti, didokumentasikan dan diangkat sebagai Warisan Negeri pada masa akan datang.

“Warisan bukan sekadar tinggalan masa lalu. Warisan ialah identiti yang menghubungkan generasi terdahulu dengan generasi hari ini, dan amanah yang perlu kita wariskan kepada generasi akan datang,” katanya.