Nelayan rahsiakan lubuk ikan Kanai elak jadi tumpuan pemancing luar

Iklan
Khoirul menunjukkan ikan Kanai yang berjaya ditangkap pada 30 Ogos lalu.

GEORGE TOWN – Seorang nelayan sungai yang berjaya menangkap ikan jarang ditemui, iaitu ikan Kanai atau Tembaring (Lutjanus goldiei), di Sungai Kuala, Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau memilih untuk merahsiakan lokasi sebenar lubuk berkenaan bagi mengelakkan ia menjadi tumpuan pemancing luar.

Khoirul Anuar Md Akhir, 58, berkata, tindakan itu bukan kerana enggan berkongsi, sebaliknya pengalaman mengajarnya bahawa lokasi tangkapan luar biasa boleh menarik perhatian ramai apabila diketahui umum.

Iklan
Iklan

“Kami ini nelayan darat. Kalau orang dengar cerita ini dan datang beramai-ramai, susahlah kami hendak mencari rezeki jika terlalu ramai yang datang,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Menurutnya, kawasan berkenaan sememangnya menjadi lokasi nelayan tempatan mencari udang galah selain ikan sungai biasa.

Iklan

Katanya, kebanyakan nelayan menggunakan bot kecil milik sendiri dan turun ke sungai secara bersendirian atau bersama seorang atau dua rakan.

“Nelayan yang datang ke sini selalunya mencari udang galah. Kalau ikan pula, setahu saya memang tidak banyak dalam sungai ini.

Iklan

“Entah bagaimana ikan yang saya dapat itu boleh berada di situ. Sebelum ini pun orang lain tidak pernah mendapatnya. Mungkin rezeki saya,” katanya.

Menariknya, Khoirul berkata, penemuan terbaharu itu bukan pengalaman pertama buatnya apabila pernah menangkap spesies sama kira-kira 15 tahun lalu.

“Lebih kurang 15 tahun lalu saya pernah mendapat ikan ini di kawasan yang sama juga, cuma lokasinya sedikit berbeza.

“Jadi apabila dapat lagi kali ini, memang agak pelik kerana ikan itu bukan spesies yang biasa kami temui di sini,” katanya.

Menurutnya, aktiviti memancing kini lebih kepada sumber pendapatan sampingan selepas tidak lagi bekerja seperti dahulu.

“Saya sudah tidak bekerja. Sekarang ini saya menjadi nelayan secara kecil-kecilan. Ada masanya saya memancing udang, ada masanya saya mencari ikan sungai,” katanya.

Dalam pada itu, Khoirul berkata, tiada pengusaha bot yang menjalankan perkhidmatan sewaan bot secara khusus di kawasan berkenaan.

Katanya, bot yang terdapat di situ kebanyakannya milik persendirian dan digunakan pemilik untuk aktiviti menangkap ikan serta udang.

“Kalau ada orang datang dan mahu menyewa bot, mungkin boleh berbincang dengan pemilik tertentu. Namun, ia bukan perniagaan sewaan bot yang dijalankan setiap hari.

“Kebanyakan kami hanya mempunyai sebuah atau dua buah bot sendiri,” katanya.

Bagaimanapun, Khoirul berkata, setakat ini belum ada pemancing luar yang datang secara khusus untuk mencari ikan berkenaan selepas kisah penemuannya tersebar.

Katanya, jika ada pemancing dari luar kawasan, mereka biasanya lebih berminat memancing udang galah atau melakukan aktiviti casting di sekitar tebing sungai.

“Buat masa ini belum ada lagi pemancing luar yang datang ke sini kerana penemuan ikan berkenaan.

“Kalau ada pun, mereka datang memancing udang atau mencari ikan biasa. Yang datang melakukan aktiviti casting pun ada, tetapi biasanya mereka berada di kawasan berbatu dan tidak terlalu ramai,” katanya.

Beliau berkata, keadaan air ketika ini juga sesuai untuk menangkap spesies ikan sungai tertentu yang lebih aktif mencari makanan.

“Sungai bukan sekadar tempat mencari hasil, sebaliknya menjadi sumber rezeki yang perlu dijaga bersama.

“Justeru, penemuan ikan yang jarang ditemui itu tidak seharusnya menjadi alasan untuk orang ramai berpusu-pusu ke kawasan ini sehingga mengganggu kehidupan nelayan tempatan.

“Kami mencari rezeki di sini. Kalau terlalu ramai datang, bukan kami tidak mahu berkongsi, tetapi kami juga perlu memikirkan rezeki nelayan yang bergantung kepada sungai ini,” katanya.

Ikan Kanai merupakan spesies pemangsa estuari yang terkenal sebagai ikan sukan premium kerana kekuatan dan daya tahan yang luar biasa.

Spesies itu lebih kerap ditemui di kawasan estuari Sabah dan Papua New Guinea, menjadikan kemunculannya di perairan Pulau Pinang sebagai satu pemerhatian menarik dari sudut taburan geografi.

Ikan tersebut lazimnya mendiami kawasan estuari dan pesisir sungai yang dipengaruhi pasang surut, selain kawasan yang mempunyai tumbuh-tumbuhan bakau dan nipah.

Habitat berkenaan berfungsi sebagai tempat perlindungan dan sumber makanan bagi spesies tersebut.

Ikan Kanai ialah spesies tempatan dan berbeza daripada spesies Black Bass (Micropterus salmoides) yang pernah dilaporkan diperkenalkan di beberapa kawasan lain.