SHAH ALAM – Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus memperkukuh jaringan kolaborasi strategik bersama Kolej-Kolej Bersekutu (KKB) bagi memperluas akses masyarakat kepada pendidikan tinggi berkualiti.
Komitmen itu dizahirkan menerusi Majlis Pemerkasaan Kolaborasi Strategik Kolej-Kolej Bersekutu (KKB) UiTM yang dirasmikan Ketua Eksekutif Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (iCEPS), UiTM.
Majlis berkenaan menjadi platform memperkukuh hubungan antara UiTM dan KKB selain memperbaharui komitmen bersama bagi memastikan pelaksanaan program usahasama terus relevan, berkualiti dan memberikan impak kepada masyarakat.
Dalam ucapan perasmian, Ketua Eksekutif iCEPS berkata, kolaborasi strategik menjadi antara instrumen penting dalam memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi selain membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat untuk mendapatkan pendidikan berkualiti.
Menurutnya, kerjasama antara UiTM dan KKB bukan sekadar hubungan antara dua institusi, sebaliknya membentuk ekosistem yang menghimpunkan kepakaran akademik, keupayaan pengurusan serta jaringan pendidikan bagi melahirkan modal insan berilmu dan berdaya saing.
“Kelangsungan sesuatu kolaborasi tidak hanya bergantung kepada kekuatan perjanjian yang dimeterai, tetapi juga kepada keupayaan kita melaksanakan kerjasama dengan penuh integriti, amanah dan berorientasikan hasil,” katanya.
Beliau berkata, tadbir urus yang cekap dan pengurusan sumber secara berhemah turut penting bagi memastikan setiap kolaborasi memberikan nilai tambah kepada universiti, rakan strategik dan khususnya pelajar.
Sehubungan itu, katanya, iCEPS akan terus memainkan peranan sebagai penggerak dan penyelaras bagi memastikan hubungan strategik bersama KKB terus berkembang menerusi tatakelola yang baik, pemantauan berkesan serta penekanan berterusan terhadap kualiti akademik.
Majlis berkenaan turut menjadi titik tolak dalam memperkukuh kepercayaan dan memperluas jaringan kerjasama antara UiTM dan KKB bagi menyediakan lebih banyak peluang pendidikan tinggi berkualiti kepada masyarakat.