Pemuda Pas gerak Himpunan Mega Penyatuan Ummah

Iklan
Tuan Ibrahim (tengah) bersama Afnan Hamimi (dua dari kanan) dan Muhammad Akmal (kanan) ketika menghadiri Muktamar Dewan Pemuda Pas Kali Ke-67.

KOTA BHARU – Dewan Pemuda Pas akan menggerakkan Himpunan Mega Penyatuan Ummah sebagai kemuncak usaha memperkukuh penyatuan umat berlandaskan lima teras Memimpin Penyatuan.

Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Afnan Hamimi Taib Azamudeen berkata, lima teras berkenaan ialah aatukan akidah, saf, usaha, tekad dan matlamat.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, gagasan berkenaan tidak akan dibiarkan sekadar menjadi slogan sebaliknya akan diterjemahkan melalui gerakan di lapangan menerusi empat segmen utama sebelum dihimpunkan dalam satu gerakan lebih besar.

“Apabila para asatizah digerakkan, anak muda dilibatkan, para profesional dan teknokrat dihimpunkan serta masyarakat majmuk disatukan, maka seluruh kekuatan ini mesti dipertemukan di satu pentas yang lebih besar.

Iklan

“Kami akan membawa seluruh gerakan ini menuju kepada Himpunan Mega Penyatuan Ummah,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Muktamar Dewan Pemuda Pas Kali Ke-67 di sebuah hotel di sini pada Khamis.

Turut hadir, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang merasmikan majlis.

Iklan

Menurut Afnan Hamimi, empat segmen berkenaan meliputi memperkukuhkan institusi agama, menggerakkan generasi baharu, kepakaran untuk negara serta memelihara keharmonian masyarakat majmuk.

“Kita mungkin berbeza agama, bangsa dan budaya, tetapi kita berkongsi bumi, negara dan masa depan yang sama,” katanya.

Dalam pada itu, Afnan Hamimi berkata, Pemuda Pas perlu berani melihat lebih jauh dengan menjangka keadaan masyarakat dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, khususnya kesan perpecahan dalam kalangan umat Melayu-Islam.

Katanya, perpecahan yang berlaku akibat kepentingan kelompok mengatasi kepentingan umat lebih besar boleh memberi kesan terhadap kekuatan politik dan ekonomi umat pada masa depan.

“Kalau kita melihat bahawa 10 tahun lagi sesuatu keadaan akan menjadi lebih buruk, jangan tunggu 10 tahun untuk memperbaikinya. Kita perbaiki sekarang,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa usaha penyatuan tidak seharusnya bersifat bermusim atau hanya muncul menjelang pilihan raya.

Katanya, hubungan antara kekuatan politik Melayu-Islam perlu dibina atas agenda yang lebih besar daripada kepentingan kepartian dan percaturan pilihan raya.

“Nama parti politik boleh berubah, gabungan politik boleh berubah dan landskap politik juga akan berubah. Tetapi Islam, akidah dan tanggungjawab kita terhadap umat tidak berubah.

“Sebab itu parti politik mesti kita letakkan pada tempatnya. Parti hanyalah wadah dan alat perjuangan,” katanya.

Menurut Afnan, usaha penyatuan itu turut melibatkan hubungan antara Pemuda Pas dan Pemuda UMNO yang dilihat sebagai jambatan kepada usaha menyatukan kekuatan umat.

Beliau berkata, hubungan berkenaan perlu terus disuburkan dan tidak hanya terhenti selepas pilihan raya.

Muktamar Dewan Pemuda Pas Kali Ke-67 turut dihadiri Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Salleh bersama barisan Exco Pemuda dan Pemuda negeri.