PASIR GUDANG – Jabatan Laut Malaysia (JLM) sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebuah kapal tangki hanyut dan melanggar struktur Jambatan Sungai Johor di Telok Sengat pada Rabu.
JLM dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa berdasarkan maklumat awal, kapal berkenaan baru sahaja diturunkan ke air dari sebuah limbungan kapal berhampiran sebelum hanyut akibat arus deras.
“Bot tunda yang mengiringi kapal itu dilaporkan tidak dapat mengawal pergerakan kapal berikutan keadaan arus yang kuat serta kekangan kuasa tunda.
“Akibat kejadian itu, kapal mengalami kerosakan kecil pada bahagian ekzos, pagar keselamatan (railing) dan peralatan navigasi, manakala struktur jambatan turut dilaporkan mengalami kerosakan ringan,” menurut kenyataan tersebut.
JLM memaklumkan, dua bot tunda bantuan kemudian tiba di lokasi dan berjaya menarik kapal berkenaan menjauhi struktur jambatan sebelum ia dilabuhkan dengan selamat.
“JLM sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian dan akan terus bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi memastikan aspek keselamatan pelayaran serta integriti struktur jambatan diberikan perhatian sewajarnya.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden ini. Sebarang maklumat rasmi hendaklah dirujuk kepada kenyataan pihak berkuasa berkaitan bagi mengelakkan kekeliruan serta penyebaran maklumat yang tidak tepat,” katanya.
Pada Rabu, media melaporkan Senai-Desaru Expressway Berhad (SDEB) mengesahkan struktur Jambatan Sungai Johor selamat dan tidak menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya.
Kenyataan itu dibuat susulan sebuah kapal yang hanyut menghampiri jambatan berkenaan kira-kira jam 2.30 petang.
Menurut SDEB, kapal terbabit berjaya dialihkan pada jam 3.16 petang, iaitu kira-kira 46 minit selepas insiden dilaporkan, dan pihaknya akan terus memantau keadaan struktur jambatan dari semasa ke semasa.