Semak semula fakta, kenyataan MoF bukan semborono: Tunku Nashrul

Iklan
Tunku Nashrul (gambar kecil) menempelak penjelasan Setiausaha Akhbar Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Fadzmel Fadzil berhubung isu peruntukan kementerian itu dengan meminta beliau menyemak semula fakta.

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah meminta Setiausaha Akhbar Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Fadzmel Fadzil menyemak semula fakta berhubung isu peruntukan kementerian itu.

Tunku Nashrul berkata, beliau yakin kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan (MoF) berhubung perkara itu tidak dibuat secara semborono, malah Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), Tan Sri Johan Mahmood Merican merupakan penjawat awam kanan yang teliti dan cekap dalam urusan kewangan negara.

Iklan
Iklan

“Saya kenal Tan Sri KSP sebagai penjawat awam kanan yang teliti dan cekap. Dalam urusan kewangan negara, sudah tentu beliau lebih arif,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Fadzmel sebelum ini menafikan KKDW berbelanja melebihi peruntukan yang diluluskan.

Iklan

Dalam kenyataannya, beliau berkata setiap perbelanjaan kerajaan tertakluk kepada tatacara dan sistem kewangan ditetapkan, selain setiap projek atau program pembangunan perlu mendapat kelulusan sewajarnya.

Beliau turut menjelaskan RM300 juta yang diluluskan MoF bukan peruntukan tambahan, sebaliknya peruntukan bagi menampung komitmen dan tunggakan pembayaran yang dibawa daripada tahun-tahun sebelumnya.

Iklan

Pertikaian berhubung peruntukan itu timbul selepas MoF menjelaskan kedudukan kewangan KKDW, termasuk dakwaan kementerian berkenaan berbelanja melebihi peruntukan tahunan bagi beberapa tahun.

MoF sebelum ini memaklumkan perbelanjaan KKDW pada 2023 berjumlah RM1.8 bilion berbanding peruntukan RM1.1 bilion, manakala pada 2024 sebanyak RM2 bilion berbanding RM1.3 bilion.

Pada 2025 pula, perbelanjaan KKDW direkodkan RM2.3 bilion berbanding peruntukan RM1.6 bilion.

MoF turut memaklumkan RM300 juta diluluskan bagi membantu menyelesaikan tunggakan bayaran kepada kontraktor di bawah projek pembangunan KKDW.

Isu berkenaan sebelum ini turut mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KKDW, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang meluahkan rasa tidak puas hati berhubung masalah pembayaran kepada kontraktor.

Ahmad Zahid menegaskan peruntukan yang diluluskan perlu disalurkan kepada perkara yang telah diperuntukkan bagi memastikan pelaksanaan projek kerajaan tidak berdepan masalah pembayaran.