Lelaki ditahan disyaki rogol, amang seksual anak tiri

Iklan
Polis menahan seorang lelaki yang disyaki merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tirinya. Gambar hiasan

​BESUT - Polis menahan seorang lelaki yang disyaki merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tirinya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintenden Md Sani Md Salleh berkata, ​suspek berusia 40 tahun itu ditahan kira-kira jam 11.50 pagi di Kampung Raja, di sini pada Rabu susulan laporan dibuat berhubung kejadian berkenaan pada hari yang sama.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ​laporan berkenaan dibuat melibatkan mangsa seorang remaja perempuan berusia 13 tahun.

​"Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Besut bagi permohonan reman untuk membantu siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

​Menurut Md Sani, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

​Katanya, jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan, suspek boleh dihukum penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun serta dikenakan sekurang-kurangnya 10 sebatan.

Iklan

​"Bagi kesalahan di bawah Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 pula, pesalah boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan," ujar beliau.

​Dalam pada itu, beliau menegaskan pihak polis memandang serius sebarang laporan melibat kesalahan seksual terhadap kanak-kanak dan akan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang.

​"Orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang boleh mendedahkan identiti mangsa.

​"Kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan keselamatan, privasi dan kebajikan mangsa serta tidak menjejaskan proses siasatan," jelasnya lagi.