Dua sepupu redah ratusan kilometer demi impian ke sekolah berasrama penuh

Iklan
Sebahagian pelajar yang mengikuti bengkel persediaan PKSK di UM di sini.

KUALA LUMPUR – Ratusan kilometer bukan penghalang buat dua sepupu dari negeri berbeza apabila sanggup meredah perjalanan jauh demi mengejar impian melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh (SBP).

Muhammad Rifqi Sufi Rashid dan Muhammad Al Fatih Mohamed Rosli, masing-masing berusia 12 tahun, hadir ke Universiti Malaya (UM) di sini bagi menyertai bengkel persediaan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) sebagai persiapan menghadapi ujian tersebut.

Iklan
Iklan

Muhammad Rifqi berkata, dia dan keluarganya memulakan perjalanan dari Nibong Tebal, Pulau Pinang sebelum singgah di Bachok, Kelantan untuk mengambil Muhammad Al Fatih sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur.

“Perjalanan agak jauh, tetapi saya tidak kisah kerana mahu membuat persiapan sebaik mungkin untuk menduduki PKSK.

Iklan

“Saya berharap usaha ini dapat membantu saya memperoleh keputusan yang baik dan seterusnya berpeluang melanjutkan pelajaran ke SBP,” katanya kepada Sinar Harian.

PKSK merupakan pentaksiran yang digunakan dalam proses kemasukan ke sekolah khusus selepas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan pada 2020.

Iklan

Dari kiri Muhammad Rifqi, Muhammad Al Fatih dan Wan Rafidah

Muhammad Rifqi yang menuntut di Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Permai, Simpang Ampat, Pulau Pinang berkata, meskipun penat, dia tetap bersemangat kerana menyimpan hasrat untuk mengikuti aliran agama seperti abangnya yang kini belajar di SBP.

Menurutnya, pengalaman abangnya di SBP menjadi pembakar semangat untuk berani keluar daripada zon selesa dan merebut peluang pendidikan yang lebih baik.

“Kalau mahu berjaya, kita perlu berusaha. Perjalanan jauh ini saya anggap sebagai satu pengorbanan untuk masa depan,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Al Fatih berkata, dia telah membuat persediaan menghadapi PKSK sejak April lalu dengan mengikuti kelas tuisyen di rumah selain pembelajaran secara dalam talian.

Katanya, perjalanan dari Kelantan ke Kuala Lumpur bersama sepupunya menjadikan dia lebih bersemangat kerana mereka berkongsi impian yang sama untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh.

Muhammad Al Fatih yang bercita-cita menjadi pegawai bomba berkata, dia tidak mahu mensia-siakan pengorbanan keluarga yang sanggup menempuh perjalanan jauh semata-mata untuk memberinya peluang pendidikan yang lebih baik.

Dalam pada itu, seorang lagi peserta, Nur Fatnin Maisarah Mohd Helmey, 12, berkata, penyertaannya dalam bengkel PKSK adalah untuk menambah ilmu pengetahuan dan mengenali lebih ramai rakan.

“Saya mahu belajar, mendapatkan lebih ramai kenalan serta berusaha memperoleh tempat di sekolah berasrama penuh di Johor,” katanya.

Sementara itu, Pengasas Fly High Education Centre, Wan Rafidah Wan Ali berharap semua peserta yang mengikuti bengkel PKSK dapat merealisasikan impian untuk melanjutkan pelajaran ke SBP.

“Berdasarkan program yang kami anjurkan, kira-kira 70 hingga 80 peratus pelajar yang mengikuti kelas secara konsisten berjaya mencapai sasaran untuk memasuki sekolah berasrama,” katanya.

Menurutnya, bengkel itu merupakan siri keenam yang dianjurkan sempena Hari Kebangsaan setiap tahun dengan penyertaan pelajar dari Sarawak, Kelantan, Terengganu, Perak dan Johor.

Katanya, selain sesi pembelajaran bersama tenaga pengajar, program itu turut diisi dengan sesi motivasi bagi meningkatkan keyakinan diri dan kesediaan peserta menghadapi PKSK.

“Bengkel seterusnya dijadualkan berlangsung pada 19 dan 20 September, diikuti sesi persediaan akhir pada 3 dan 4 Oktober sebelum PKSK bermula pada 7 Oktober,” katanya.