Jernihkan kontroversi Jalur Gemilang

Iklan
Seharusnya semua rakyat Malaysia perlu cakna dan peka dengan sensitiviti melibatkan Jalur Gemilang tidak kiralah sama ada gambar dan seumpamanya. Foto fail Bernama

BOLEH kata setiap tahun mesti ada kontroversi Jalur Gemilang. Terkadang rasa pelik pun ya, macam mana bendera boleh dipasang terbalik atau tidak cukup sifatnya.

Lebih menyedihkan apabila kes ini berlaku pada bulan kemerdekaan. Bulan yang sepatutnya rakyat Malaysia hargai dengan semangat cinta akan negara.

Iklan
Iklan

Bila satu kes mula dilaporkan, tiba-tiba timbul pula kes di tempat lain. Bila kes itu tular, sudah pasti menimbulkan bermacam reaksi warganet apatah lagi bila dikaitkan dengan sentimen politik atau kaum. Lagi panas jadinya.

Ia bermula dengan tular satu rakaman video di media sosial memaparkan sehelai Jalur Gemilang dikibarkan di Dataran Batu Buruk tanpa lambang bulan dan bintang.

Iklan

Pada 17 Ogos lalu, Majlis Perbandaran Kulai menutup serta merta operasi kilang alat ganti dalam kawasan Perindustrian Kulai yang didakwa memasang Jaur Gemilang dan bendera negeri Johor secara terbalik.

Berselang tiga hari kemudian, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri mengarahkan sebuah kilang di Taman Perindustrian SILC, Iskandar Puteri juga dihentikan operasi serta merta atas kesilapan sama.

Iklan

Selain itu, pemasangan Jalur Gemilang tanpa lambang bulan dan bintang di Dataran Batu Buruk, Terengganu juga kecoh dipersoalkan.

Terbaharu, gambar Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan beberapa kenamaan pula tular memakai pakaian dengan kesilapan cetakan bintang Jalur Gemilang yang didapati tidak mempunyai 14 bucu seperti yang sepatutnya.

Apa yang berlaku ini pasti ada punca mengapa dan kenapa. Seharusnya semua rakyat Malaysia perlu cakna dan peka dengan sensitiviti melibatkan Jalur Gemilang tidak kiralah sama ada gambar dan seumpamanya.

Ini kerana apabila satu-satu kes itu tular, kebimbangan ialah sentimen yang memainkan isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja).

Hari Kemerdekaan baru sahaja selesai sambutannya pada 31 Ogos dan Hari Malaysia bakal disambut 16 September ini. Sambutan kemerdekaan bukan semata sambutan biasa, tapi ia menonjolkan rasa hormat kita kepada negara.