SHAH ALAM - Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) menyeru orang ramai supaya tidak menjadikan pelakon, pengarah dan kru produksi sebagai sasaran kecaman atau serangan peribadi membabitkan drama 'Madu atau Racun'.
Presidennya, Rozaidi Abdul Jamil atau Zed Zaidi berkata, pihaknya mengambil maklum perkembangan serta kontroversi yang tercetus berkaitan drama berkenaan, selain menghormati pendirian dan kebimbangan yang disuarakan pihak berkuasa.
Namun beliau menegaskan, masyarakat perlu membezakan antara karya dengan individu yang menjayakan sesebuah karya.
"Pelakon, pengarah dan kru produksi menjalankan tugas mereka berdasarkan watak serta skrip yang diberikan.
"Mereka tidak seharusnya menjadi sasaran kecaman, penghinaan atau serangan peribadi hanya kerana membawa sesuatu watak dalam sebuah karya.
"Kita boleh tidak bersetuju dengan sesuatu karya, boleh mengkritik kandungannya tetapi jangan serang manusia di sebalik karya tersebut," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini syarikat produksi drama berkenaan, MIG Production House (MIG) tampil memohon maaf kepada semua pihak susulan kontroversi tercetus dan menyatakan pihaknya mengambil maklum isu yang sedang tular ekoran terdapat babak yang dilihat agak keterlaluan untuk tontonan umum sehingga menyentuh sensitiviti agama serta masyarakat.
Dalam pada itu Zed menjelaskan, kebebasan berkarya perlu bergerak seiring dengan tanggungjawab dalam memastikan kandungan yang dihasilkan tidak bercanggah dengan sensitiviti masyarakat.
Menurutnya, penggiat seni mempunyai tanggungjawab untuk memahami batas dan garis panduan yang ditetapkan, manakala pihak penerbit pula perlu memainkan peranan dalam memastikan kandungan yang dihasilkan tidak mencetuskan konflik dengan sensitiviti masyarakat.
"Sekiranya terdapat kandungan yang didapati melanggar garis panduan atau undang-undang sedia ada, biarlah perkara tersebut dinilai dan diputuskan melalui saluran serta proses yang sewajarnya.
"Kita tidak mahu budaya menghukum terlebih dahulu sebelum sesuatu perkara disemak dan diputuskan menjadi norma dalam industri kreatif.
"Seniman sentiasa bersedia menjadi jambatan antara penggiat seni, pihak industri dan pihak berkuasa supaya isu seperti ini dapat dibincangkan secara matang dan profesional," ujarnya.