Tang Jie-Su Yin mahu cari semula sentuhan

Iklan
Tang Jie (kanan) dan Su Yin terpaksa akur tewas dalam saingan awal Masters China di Shenzhen. Foto: Agensi

CHEN Tang Jie mengakui masih belum menemui semula rentak terbaiknya selepas langkah pertama bersama pasangan baharu, Cheng Su Yin, berakhir dengan kekalahan pada pusingan pertama Masters China di Shenzhen, hari ini.

Tang Jie yang sebelum ini bergandingan dengan Toh Ee Wei, kini membentuk kombinasi baharu bersama Su Yin sebagai sebahagian persiapan menuju Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Iklan
Iklan

Namun, kemunculan pertama mereka tidak menjadi apabila ditundukkan pasangan China, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui, 14-21, 19-21 dalam pertarungan selama 51 minit di Arena Shenzhen.

Pasangan negara sebenarnya memberi tentangan sengit pada set kedua dan berjaya mengikat kedudukan 19-19, sekali gus membuka peluang untuk membawa perlawanan ke set penentuan.

Iklan

Bagaimanapun, dua kesilapan di penghujung aksi menyaksikan peluang itu tidak dimanfaatkan, dengan Tang Jie sendiri mengakui dia terlalu tergesa-gesa ketika saat penting perlawanan.

"Saya perlu mencari semula diri saya. Hari ini (Rabu) saya terlalu tergesa-gesa terutama pada dua pukulan terakhir.

Iklan

"Kami perlu cuba berkomunikasi dengan lebih baik dan mencari rentak permainan.

Cabaran yang dihadapi pemain itu turut hadir selepas perubahan besar dalam kariernya apabila Ee Wei terpaksa diketepikan akibat kecederaan lutut dan kini menjalani proses pemulihan selepas pembedahan di Australia.

Tang Jie sebelum ini mengakui kecederaan yang menimpa pasangannya serta pemergian ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto, memberi kesan kepada keadaan mentalnya.

Biarpun masih dalam proses membina persefahaman, Su Yin melihat kekalahan di Masters China sebagai ruang untuk memperkemaskan permainan sebelum cabaran sebenar di Jepun nanti.

"Keserasian di gelanggang tidaklah terlalu teruk, tetapi masih ada perkara yang perlu diperbaiki. Saya yakin kami boleh beraksi lebih baik," katanya.

Pasangan baharu itu juga kini mendapat sentuhan Teo Kok Siang yang kembali menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM), dengan kejohanan Masters China menjadi tugasan rasmi pertama jurulatih beregu campuran itu selepas memulakan tugas pada 1 September.