SHAH ALAM - Perbadanan Aset Keretapi (RAC) bersedia memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan insiden kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun di Jambatan Victoria, Karai, Kuala Kangsar, Perak
RAC dalam satu kenyataan turut menyatakan pihaknya bersedia mengadakan semakan bersama Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) dan agensi berkaitan terhadap aspek keselamatan di kawasan Jambatan Victoria bagi mengenal pasti langkah penambahbaikan bersesuaian tanpa menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.
ARTIKEL BERKAITAN: Kes budak maut di Jambatan Victoria: Polis buka kertas siasatan
“Kami menzahirkan dukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang dilaporkan meninggal dunia selepas terjatuh di kawasan Jambatan Victoria, Karai, Kuala Kangsar, Perak pada 31 Ogos 2026,” katanya pada Rabu.
Ketika kejadian pada Isnin, Abdul Rafee Abdul Halim sedang berjalan di atas Jambatan Victoria sambil memegang tangan bapanya sebelum didapati berada di bawah jambatan setinggi kira-kira lima meter.
Kenyataan tersebut turut memaklumkan kerja-kerja penyelenggaraan, menaik taraf dan pengurusan kawasan pelancongan di sekitar Jambatan Victoria, termasuk penyediaan kemudahan awam, landskap, papan tanda atas persetujuan MPKK pada 12 Februari 2020.
“Ia seiring nilai sejarah dan warisan, bagi tujuan pembangunan dan pengurusan kawasan Jambatan Victoria sebagai produk pelancongan di daerah berkenaan.
“Ini termasuk penyediaan kemudahan awam, landskap, papan tanda amaran/keselamatan serta langkah-langkah berkaitan demi keselesaan dan keselamatan pengunjung,” jelasnya.