KUALA LUMPUR - Permainan roller coaster yang terlibat dalam insiden kemalangan pada 22 Ogos, 2026 di Taman Tema Sunway Lagoon di Subang Jaya, Selangor kekal ditutup sementara siasatan masih dijalankan.
Sunway Lagoon Sdn Bhd dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan selain memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan dijalankan.
Iklan
Iklan
Syarikat itu turut mengesahkan bahawa semua pengunjung yang menjalani rawatan dan pemeriksaan di hospital susulan insiden berkenaan telah dibenarkan pulang.
"Kami memahami bahawa insiden ini merupakan satu pengalaman yang sukar dan mencemaskan bagi mereka yang terlibat selain menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ahli keluarga masing-masing.
"Kami amat kesal terhadap insiden yang berlaku dan akan terus berhubung dengan pengunjung yang mengalami kecederaan bagi memastikan kebajikan serta keperluan mereka diberikan perhatian sewajarnya," menurutnya.
Syarikat itu menegaskan bahawa keselamatan dan kesejahteraan tetamu sentiasa diutamakan.
"Kami mengambil serius kebimbangan yang timbul susulan insiden berkenaan dan komited untuk memastikan semua aspek berkaitan keselamatan ditangani dengan sewajarnya," jelasnya. - Bernama