KKDW nafi belanja melebihi peruntukan, isu dana jalan luar bandar tuntutan tertunggak sejak Covid-19

Iklan
KKDW menyangkal dakwaan kementerian itu telah berbelanja melebihi peruntukan yang diluluskan bagi projek pembangunan khususnya pembinaan jalan luar bandar. Gambar kecil: Fadzmel

SHAH ALAM - Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyangkal dakwaan kementerian itu telah berbelanja melebihi peruntukan yang diluluskan bagi projek pembangunan, khususnya pembinaan jalan luar bandar.

Setiausaha Akhbar Menteri KKDW, Fadzmel Fadzil menegaskan, kenyataan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) berhubung perkara tersebut tidak tepat serta tidak menggambarkan situasi kewangan sebenar.

Iklan
Iklan

Malah menurutnya, Tatacara Kewangan Kerajaan serta sistem perakaunan Integrated Government Financial Management Accounting System (iGFMAS) secara teknikalnya tidak membenarkan mana-mana kementerian membuat perbelanjaan melangkaui had diluluskan.

"Setiap permohonan peruntukan dibentangkan kepada Kementerian Kewangan dan setiap perbelanjaan tertakluk kepada sistem kewangan kerajaan yang mengguna pakai iGFMAS.

Iklan

"Malah, setiap projek atau program pembangunan mesti mendapat kelulusan daripada Kementerian Ekonomi.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membangkitkan kebimbangan mengenai masalah yang dihadapi kontraktor susulan kelewatan bayaran bagi projek di bawah kementeriannya.

Iklan

Susulan itu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican menafikan terdapat sebarang sekatan terhadap peruntukan KKDW bagi projek jalan luar bandar, sebaliknya keseluruhan peruntukan berkenaan telah disalurkan.

Malah beliau menjelaskan, kekangan dalam proses pembayaran kepada kontraktor berpunca daripada peruntukan tahun semasa yang hampir keseluruhannya telah dibelanjakan selain MOF telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM300 juta bagi membantu menyelesaikan tunggakan bayaran.

Dalam pada itu, Fadzmel berkata, kenyataan MOF sebelum ini dilihat gagal menyertakan data tahun 2019 hingga 2021 yang kritikal untuk memahami gambaran keseluruhan komitmen projek luar bandar.

"Dalam tempoh itu, negara berdepan pandemik Covid-19. Walaupun pelaksanaan sebahagian projek terjejas, Surat Setuju Terima (SST) bagi projek tertentu sudah dikeluarkan dan komitmen kontrak telah wujud dari 2019 hingga 2021.

"Apabila projek berkenaan kembali berjalan, tuntutan pembayaran daripada kontraktor turut dibawa ke tahun-tahun berikutnya.

"Apabila kerja sudah dilaksanakan kontraktor, kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk membuat pembayaran mengikut kemajuan kerja dan obligasi kontrak," jelasnya.