Syarikat produksi mohon maaf, akui babak drama Madu atau Racun keterlaluan

Iklan
MIG tampil memohon maaf kepada semua pihak susulan kontroversi yang tercetus membabitkan drama Madu atau Racun.

PUTRAJAYA - Syarikat produksi, MIG Production House (MIG) tampil memohon maaf kepada semua pihak susulan kontroversi yang tercetus membabitkan drama Madu atau Racun.

MIG menerusi kenyataan yang dimuat naik di media sosial berkata, pihaknya mengambil maklum isu yang sedang tular dan terdapat babak dalam drama berkenaan yang dilihat agak keterlaluan untuk tontonan umum sehingga menyentuh sensitiviti agama dan masyarakat.

Iklan
Iklan

“Kepada seluruh penonton, peminat dan semua pihak yang telah memberikan sokongan terhadap drama Madu atau Racun.

“Kami mengambil maklum terhadap isu yang sedang tular dan telah menyentuh sensitiviti agama dan masyarakat dengan babak yang dilihat agak keterlaluan untuk ditonton secara umum,” menurut kenyataan itu pada Rabu.

Iklan

MIG bagaimanapun menegaskan pihaknya tidak mempunyai sebarang niat untuk menyentuh atau memperlekehkan mana-mana pihak menerusi karya berkenaan, selain menafikan kontroversi itu dicetuskan dengan sengaja.

“Kami memohon maaf dan menghormati pandangan semua pihak dan akan memperbaiki karya kami yang akan datang dan seterusnya mengambil teguran ini sebagai satu pengajaran yang besar,” katanya.

Iklan

Kontroversi Madu atau Racun tercetus susulan penayangan beberapa babak yang didakwa menyentuh sensitiviti agama dan masyarakat, termasuk elemen percintaan kaum sejenis yang menjadi perhatian di media sosial.

Perkembangan itu berlaku ketika pihak berkuasa dan industri sedang meneliti kandungan drama berkenaan, dengan pertemuan melibatkan FINAS, wakil MIG, iQIYI, CMCF, Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) serta Persatuan Televisyen Malaysia (PTVM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diadakan bagi membincangkan isu terbabit.