INISIATIF Pembersihan Pantai dan Bawah Laut Nestle Malaysia yang bermula pada 2019 kini diperluaskan kepada usaha pemuliharaan alam sekitar, pendidikan dan pembabitan komuniti bagi melindungi ekosistem pesisir pantai serta marin negara secara berterusan.
Memasuki tahun ketujuh, program berkenaan membabitkan hampir 400 sukarelawan di Kedah, Kelantan, Johor, Sabah, Pahang dan Selangor yang mengumpulkan 1,259.51 kilogram (kg) sisa tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan sisa dikutip sejak 2019 mencecah hampir 18 tan.
Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Juan Aranols berkata, perkembangan tersebut mencerminkan tumpuan lebih besar terhadap usaha mewujudkan impak alam sekitar yang berkekalan.
"Di Nestlé, pendekatan Menjana Nilai Bersama (CSV) bermaksud membawa perbezaan positif bagi masyarakat dan alam sekitar. Pesisir pantai dan ekosistem marin kita merupakan khazanah alam yang menyokong punca pendapatan, keterjaminan makanan dan kepelbagaian biologi, dan usaha melindunginya memerlukan tindakan berterusan, pendidikan dan komitmen bersama untuk memelihara ekosistem semula jadi.
"Bersama komuniti penyelam Nestlé, saya telah melihat sendiri keindahan dan juga kerapuhan persekitaran marin kita. Daripada usaha menepikan tapak sulaiman mahkota berduri yang mengancam terumbu karang kepada aktiviti mencari dan mengutip pukat hantu yang ditinggalkan oleh nelayan, usaha pemuliharaan bawah laut kami telah menekankan betapa pentingnya melindungi ekosistem ini untuk jangka panjang.
"Sambil program berkembang maju, kami memberikan lebih penekanan kepada pendidikan dan keterlibatan komuniti, kerana perubahan berkekalan hanya berlaku apabila manusia diperkasakan untuk memainkan peranan aktif melindungi persekitaran di tempat mereka bergantung hidup," katanya dalam kenyataan.
Program 2026 memberikan lebih penekanan terhadap pendidikan dan urus selia komuniti.
Di Pantai Kelanang, Selangor, aktiviti pemuliharaan alam sekitar digandingkan dengan sesi Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) tentang Kelestarian yang melibatkan penduduk Orang Asli dari Teluk Tongkah dan Permatang Buah Kelanang untuk memberikan panduan praktikal tentang pengasingan sisa, kitar semula dan pelupusan bertanggungjawab.
Inisiatif tersebut bertujuan memperkasakan komuniti untuk memainkan peranan aktif melindungi alam sekitar dalam jangka panjang.
Sementara itu, Pengasas Bersama dan Pengarah Program Impact Revolution Enterprise, Mohd Faisal Abdur Rani berkata, kerja-kerja pembersihan yang dilakukan secara konsisten, menunjukkan jumlah sisa lebih rendah dikutip berbanding tempoh yang sama sebelum ini.
"Walaupun faktor seperti air pasang surut, musim dan aktiviti pengunjung boleh mempengaruhi jumlah sisa yang wujud, tanda-tanda positif menunjukkan bahawa tahap kesedaran dan pelupusan sisa bertanggungjawab kini bertambah baik.
"Program ini juga menekankan betapa pentingnya keterlibatan berterusan, pendidikan dan tanggungjawab komuniti yang lebih kukuh terhadap persekitaran pesisir pantai," katanya.