SHAH ALAM - Baki bekalan Baja 3 kepada pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) akan mula dihantar bermula 3 September, dengan keseluruhan proses penghantaran disasarkan selesai dalam tempoh 10 hari.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penghantaran tersebut akan dilaksanakan anak syarikat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd, selepas mendapat persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Saya juga telah mengarahkan Mada supaya proses ini dipantau secara rapi sehingga bekalan benar-benar sampai kepada pesawah.
"Tiada ruang untuk kelewatan berulang apabila ia melibatkan keperluan asas pengeluaran padi dan sumber pendapatan pesawah," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Pada 13 Ogos lalu, Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob dilapor memaklumkan, kira-kira 40,000 daripada 60,000 pesawah di kawasan Mada masih belum menerima baja tiga (tambahan) yang sekali gus dikhuatiri menjejaskan hasil padi musim ini.
Beliau berkata, kelewatan Baja Padi 3 membimbangkan kerana input berkenaan diperlukan ketika tanaman padi memasuki peringkat reproduktif antara usia 40 hingga 60 hari bagi membantu pembentukan tangkai dan pengisian buah.
Dalam pada itu Mohamad menjelaskan, perkhidmatan Taveekun Manufacturing Sdn Bhd bagi pembekalan Baja 3 telah ditamatkan susulan kelewatan yang berlaku dengan surat permohonan telah dihantar kepada Perdana Menteri pada 27 Ogos lalu.
"Sukacita dimaklumkan bahawa Perdana Menteri telah bersetuju dengan permohonan tersebut.
"KPKM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal melaksanakan tanggungjawab sehingga menjejaskan kepentingan pesawah dan kelancaran sektor pengeluaran makanan negara," ujarnya.