Konon bantu cari telefon hilang, lelaki didakwa minta 'duit kopi' RM200

Iklan
Lelaki yang dikatakan cuba menipu orang cara menghulurkan bantuan kemudian meminta duit kopi sehingga RM200.

MELAKA - Seorang wanita mendakwa menjadi mangsa individu yang menawarkan bantuan selepas telefon bimbitnya hilang sebelum meminta 'duit kopi' sehingga RM200 di sekitar Sungai Melaka.

Menurut wanita berkenaan, kejadian berlaku ketika dia sedang duduk di bangku tepi sungai bersama ibunya sebelum menyedari telefon bimbitnya hilang.

Iklan
Iklan

Katanya, tidak lama kemudian seorang lelaki menghampirinya dan mendakwa melihat seseorang mengambil telefon berkenaan sebelum memberitahu rakannya sedang mengejar individu terbabit.

"Lelaki itu kemudian menyuruh saya mengikutnya kerana mendakwa rakannya sudah menangkap orang yang mencuri telefon dan mendapatkan semula telefon saya.

Iklan

"Dia turut bertanya jenis dan harga telefon sebelum meminta duit kopi untuk diberikan kepada rakannya," katanya menerusi satu hantaran di Threads pada malam Selasa.

Bercerita lanjut katanya, lelaki itu kemudian pergi ke kawasan rumah kampung di sekitar Kampung Morten dan tidak lama selepas itu menyerahkan semula telefon bimbit berkenaan kepadanya.

Iklan

Bagaimanapun katanya, lelaki terbabit didakwa meminta RM200 sebagai 'duit kopi' dan terus mendesak mangsa supaya membayar wang berkenaan.

"Saya tanya mana rakannya dan siapa yang mengambil telefon saya kerana mahu membuat laporan polis, tetapi dia terus meminta duit kopi.

Tambahnya, dia turut menghubungi seorang rakannya dan memaklumkan mengenai kejadian berkenaan sebelum lelaki itu beredar dari lokasi berkenaan.

Katanya, lelaki tersebut juga didakwa enggan menunggu untuk bersama-sama membuat laporan polis dan terus berjalan masuk ke kawasan rumah kampung sebelum menghilangkan diri.

Dalam pada itu, hantaran tersebut turut mendapat perhatian pengguna media sosial lain yang mendakwa pernah berdepan dengan individu sama.

Perkongsian mangsa di aplikasi Threads pada Selasa malam.

Seorang pengguna mendakwa lelaki itu tidak serik apabila masih melakukan kegiatan sama walapun telah diberikan amaran empat bulan lalu.

Seorang lagi lagi pengguna mendakwa mengenali individu itu dan penduduk kampung memanggilnya ‘anak jin’.

Manakala seorang peniaga pula mendakwa lelaki berkenaan pernah mengambil dua papan telur dari kedainya sebelum barang berkenaan ditemui semula.

Sementara itu, semakan dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah mendapati tiada laporan polis dibuat berhubung kejadian berkenaan setakat ini.

Pihak polis memaklumkan akan mengemas kini maklumat sekiranya menerima sebarang laporan atau terdapat perkembangan lanjut.