Identiti mayat wanita dalam beg belum dikenal pasti - Polis

Iklan
Mohd Alwi bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput hari ini. Foto: Bernama

SUNGAI SIPUT - Identiti mayat seorang wanita yang ditemukan di dalam beg pakaian di Sungai Perak berhampiran Jeti Lembah, Kuala Kangsar pada 14 Ogos lepas masih belum dapat dikenal pasti.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, mangsa yang berusia lingkungan 30-an itu dipercayai meninggal dunia akibat lemas, dengan mukanya ditutup dan diikat sebelum dihanyutkan ke sungai.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, semakan bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan agensi berkaitan tidak menemukan sebarang rekod yang dapat membantu mengenal pasti mangsa, selain tiada laporan orang hilang diterima yang dipercayai mempunyai kaitan dengan wanita berkenaan.

"Buat masa ini, beberapa spesimen mangsa telah dihantar kepada pihak forensik dan kita masih menunggu keputusannya. Mungkin akan mengambil sedikit masa kerana spesimen yang dihantar agak banyak,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput, di sini hari ini.

Iklan

Mohd Alwi berkata, polis akan bekerjasama dengan semua pihak berkaitan termasuk Jabatan Imigresen Malaysia dan Interpol bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung identiti mangsa.

Sebelum ini, media melaporkan paras air Sungai Perak yang cetek membawa kepada penemuan mayat berkenaan yang disumbat dalam sebuah beg pakaian selepas terdampar di bahagian tengah sungai akibat tersekat pada aliran cetek.

Iklan

Berikutan itu, pada 19 Ogos lepas, polis meminta bantuan orang ramai untuk mengenal pasti identiti mayat wanita berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Mohd Alwi berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan kegiatan perjudian membabitkan beberapa premis di sekitar Taiping yang tular menerusi media sosial sejak beberapa hari lepas.

Beliau berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas sekiranya hasil pemeriksaan mendapati kegiatan berkenaan masih berlaku, termasuk di premis yang dilesenkan untuk menjalankan perniagaan lain tetapi dipercayai digunakan bagi aktiviti perjudian.

"Kita dapat maklumat ini melalui media sosial dan akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan berkenaan. Sekiranya pemeriksaan mendapati kegiatan itu masih berlaku, kita akan ambil tindakan,” katanya.

Sebelum ini, Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang Mohammad Sollehin Mohamad menerusi hantaran di laman Facebook membangkitkan dakwaan mengenai kegiatan judi dalam talian yang dipercayai beroperasi di beberapa lokasi sekitar Taiping. - Bernama