PILUNYA hati kehilangan ahli keluarga secara tiba-tiba. Adik kepada mangsa kemalangan tragis di Kilometer 110.4 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT1), Temerloh, berkongsi momen terakhir bersama.
Adik kepada Allahyarham Muhammad Nazatullah Nazmi, Muhammad Niqmatullah, 25, meluahkan kerinduan untuk memegang tangan si kecil itu lagi.
Malah dia turut memuat naik video momen pertemuan terakhir bersama anak buahnya, Allahyarham Muhammad Armaan Nazeef, 4.
Dalam pada itu, menerusi perkongsian yang sama, pemilik akaun yang sama turut berkongsi tentang jam yang diberikan kepada abangnya, Muhammad Nazatullah Nazmi, 32, telah kembali tanpa pemilik.
"Aku bagi jam ini kepada abang aku semalam, hari ini dapat balik jam sahaja, abang sudah tiada," kongsinya.
Warganet rata-rata tidak dapat menahan sebak mengakui tersentuh dan mendoakan kesejahteraan.
ARTIKEL BERKAITAN: Empat maut, empat cedera dalam nahas libatkan 11 kenderaan di LPT1
Nahas 4 maut: Lori tangki hilang kawalan rempuh 10 kenderaan
Nahas 11 kenderaan: Polis sahkan empat maut termasuk suami, isteri dan anak lelaki 4 tahun
Nahas 4 maut: 'Bila tengok gambar kemalangan, saya rasa itu kereta anak' - Bapa mangsa
Terdahulu Muhammad Nazatullah dan isteri, Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan, 32, maut bersama anak lelaki mereka dalam nahas pada malam Hari Kebangsaan lalu ketika dalam perjalanan pulang dari Putrajaya.
Mereka yang menaiki Proton S70 terlibat kemalangan ngeri di LPT1 arah Lanchang menghala ke Kuantan itu berlaku kira-kira pukul 10.55 malam. Kemalangan itu melibatkan lori tangki berkenaan, sebuah bas ekspres dan sembilan kereta dalam perjalanan menuju ke arah Timur.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - SinarPlus