KUALA LUMPUR – Gajah liar dikenali sebagai Sulong yang tular selepas berkeliaran di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) di Kelantan dalam keadaan cedera kini dipindahkan ke Tasik Kenyir, Terengganu untuk menjalani rawatan.
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pemindahan gajah jantan itu dilakukan pada Selasa.
Iklan
Iklan
"Sulong sudah dipindahkan ke Tasik Kenyir dan kakinya yang cedera dirawat oleh veterinar daripada Perhilitan.
"Kami akan kongsikan perkembangan semasa berhubung keadaan gajah itu dalam masa terdekat, Insya-ALLAH," katanya pada Rabu.
Media sebelum ini melaporkan gajah berkenaan dilihat berkeliaran di sepanjang JRTB dalam keadaan cedera sebelum masuk semula ke kawasan hutan.
Sulong kemudiannya dikatakan dikesan semula sekitar Gerik, Perak pada kira-kira jam 9.30 pagi Ahad lalu.
Perkara itu turut dikongsikan beberapa pengguna media sosial yang mendakwa melihat gajah berkenaan dalam keadaan cedera pada bahagian kaki ketika bergerak menghala ke Banjaran Titiwangsa.