'Nyawa sudah di hujung tanduk ' - Fenomena belalai gajah 'serang' penduduk

Iklan
Zainuddin dan Roslinda menunjukkan bahagian atas kediaman pusaka yang rosak teruk akibat ribut dipercayai berpunca daripada fenomena belalai gajah pada Rabu.

KLANG -"Badan rasa kosong, saya ingat nyawa sudah di hujung tanduk," itu detik mencemaskan dilalui seorang warga emas, Zainuddin Shambra, 68, apabila rumah pusaka arwah bapanya di Kampung Bukit Kapar di sini dilanda ribut dipercayai fenomena belalai gajah di sini pada Rabu.

Zainuddin berkata, kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu berlaku ketika dia berada di bawah rumah kayu dua tingkat berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pada mulanya dia menyangka hujan lebat dan guruh yang melanda adalah perkara biasa sebelum keadaan berubah apabila melihat hujan seperti bergulung-gulung berwarna hitam diikuti angin kuat secara tiba-tiba.

"Saya bangun untuk keluar, tetapi tak sempat kerana angin sudah kuat dan seolah-olah menolak badan saya.

Iklan

"Tak sampai seminit, saya dengar bunyi dentuman kuat dan ketika itu bumbung rumah sudah diterbangkan angin, manakala pokok pelam sebesar satu pemeluk tumbang," katanya ketika ditemui pada Rabu.

Zainuddin dan Roslinda berada di tangga kediaman itu selepas kejadian ribut dipercayai berpunca daripada fenomena belalai gajah pada Rabu.

Iklan

Zainuddin memberitahu, ketika kejadian itu, dia tidak lagi memikirkan perkara lain sebaliknya hanya mampu pasrah kerana menyangka sesuatu yang buruk mungkin berlaku kepadanya.

"Waktu itu memang rasa badan melayang, perasan takut tiada, cuma fikiran kosong dan saya terima sahaja apa yang akan berlaku," ujarnya.

Menurutnya, selepas keadaan kembali reda, dia keluar dari rumah dan mendapati bahagian atas kediaman itu mengalami kerosakan teruk termasuk dua bilik, ruang tamu, dapur serta ruang solat di bahagian atas.

Katanya, bumbung rumah dipercayai diterbangkan angin sejauh kira-kira 50 meter, malah ada bahagian yang jatuh berhampiran jalan raya.

Zainuddin berkata, rumah pusaka itu sudah berusia lebih 40 tahun dan menjadi tempat beberapa ahli keluarganya berteduh.

"Biasanya adik saya bersama suami dan anak-anak tinggal di rumah ini, manakala saya datang setiap hari untuk menjenguk kerana rumah ini tidak berpenghuni ketika mereka tiada.

Sementara itu, adiknya, Roslinda, 48, bersyukur kerana ketika kejadian dia menziarahi adik perempuannya di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, kira-kira setengah jam sebelum kediaman itu dilanda ribut.

Katanya, dia ke hospital itu untuk menziarahi adik perempuannya yang sedang menerima rawatan akibat masalah paru-paru berair sejak tiga hari lalu.

"Kalau saya tidak keluar ketika itu, mungkin saya berada di bahagian bawah rumah. Saya sendiri tidak tahu hendak kata apa kerana kawasan itu memang berisiko sekiranya bumbung runtuh," jelasnya.

Menurutnya, kejadian itu kali pertama berlaku sepanjang menetap di rumah pusaka berkenaan.

Katanya, hampir keseluruhan barangan di dalam rumah termasuk pakaian, katil, almari dan perabot rosak akibat kejadian berkenaan.

"Bumbung habis diterbangkan angin, barang-barang dalam rumah pun banyak yang rosak dengan anggaran kerugian lebih RM10,000," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Bukit Kapar, Aznu Hamid berkata, sebanyak 76 rumah dan sebuah surau di Kampung Bukit Kapar di sini terjejas akibat ribut dipercayai fenomena belalai gajah.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, lima rumah mengalami kerosakan teruk manakala selebihnya dikategorikan sebagai kerosakan sederhana dan ringan.

Menurutnya, kerosakan yang dialami penduduk antaranya membabitkan bumbung rumah yang tercabut akibat dipukul angin kuat.

"Sebuah surau turut terjejas apabila keseluruhan bahagian bumbung ruang solat lelaki dan wanita mengalami kerosakan.

Katanya, fenomena belalai gajah dipercayai melanda kawasan kampung berkenaan sebelum menyebabkan kerosakan kepada kediaman penduduk.

"Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini dengan anggaran kediaman terjejas membabitkan kira-kira 10 peratus daripada jumlah penduduk kampung.

"Pihak JPKK kini membantu penduduk terjejas termasuk melakukan kemas kini jumlah kerosakan dan keperluan bantuan susulan kejadian itu," tambah beliau.

Zainuddin dan Roslinda berada di tangga kediaman itu selepas kejadian ribut dipercayai berpunca daripada fenomena belalai gajah pada Rabu.