SMTDR Lenggong lahir huffaz cemerlang

Iklan
Sultan Nazrin berkenan menyantuni pelajar di dalam kelas sempena Majlis Perasmian SMTDR Lenggong pada 9 Jun lalu.

LENGGONG – Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR) Lenggong membuktikan pendidikan tahfiz mampu melahirkan generasi huffaz yang bukan sahaja menguasai hafazan al-Quran tetapi cemerlang dalam bidang akademik.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk), Faiz Muhammad Rafaai berkata, ini terbukti apabila seramai 166 alumni sekolah berkenaan menyambung pengajian dalam pelbagai bidang di peringkat pensijilan, diploma dan sarjana muda termasuk di Universiti Mu'tah, Jordan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, alumni generasi pertama hingga keempat kini berkhidmat dalam sektor profesional seperti perakaunan, kejuruteraan, agama dan perniagaan.

Sultan Nazrin menyempurnakan Majlis Perasmian SMTDR Lenggong pada 9 Jun lalu.

Iklan

“Pencapaian dalam peperiksaan awam, pertandingan hafazan, tilawah, kokurikulum dan pelbagai pengiktirafan lain turut membuktikan pendidikan tahfiz mampu bergerak seiring dengan kecemerlangan akademik,” katanya kepada Sinar Harian.

SMTDR Lenggong kini membimbing 176 pelajar lelaki menerusi Kurikulum Bersepadu Tahfiz yang menggabungkan pengajian al-Quran dan akademik arus perdana.

Iklan

Sekolah berkenaan turut menunjukkan prestasi akademik memberangsangkan apabila mencatatkan Gred Purata Sekolah (GPS) SPM 2.18 pada 2025.

Pencapaian itu menjadikan SMTDR Lenggong sebagai sekolah kedua terbaik dalam kalangan lapan Sekolah Menengah Agama Negeri di bawah kelolaan JAIPk selama dua tahun berturut-turut.

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri memperuntukkan hampir RM17 juta pada 2026 bagi pengurusan rangkaian lima SMTDR di Perak termasuk Lenggong.

Katanya, komitmen itu selari dengan aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030 yang memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan berilmu, berkemahiran dan berakhlak.

“Pembinaan SMTDR Lenggong bukan sekadar menyediakan sebuah lagi institusi pendidikan, sebaliknya mencerminkan iltizam kerajaan negeri dalam membina masa depan yang berpaksikan ilmu, nilai murni dan keluhuran akhlak,” katanya dalam sembah ucapan sempena Majlis Perasmian SMTDR Lenggong.

Majlis berkenaan disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 9 Jun 2026.