Pemandu ambulans didakwa pandu melulu sebabkan kematian pelajar

Iklan
Seorang pemandu ambulans swasta dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang pelajar.

JASIN - Seorang pemandu ambulans swasta dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal yang juga pelajar Kolej Komuniti Bukit Beruang, minggu lalu.

Tertuduh, Mohd Noorikhmal Baharuddin, 41, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mazana Senin.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu ambulans jenis Toyota Hiace secara melulu sehingga menyebabkan kematian Muhammad Amirul Asyraaf Md Azizan, 18, di lampu isyarat simpang tiga Kampung Ayer Merbau, di sini, kira-kira jam 9.15 pagi pada 26 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa memandu ambulans jenis Toyota Hiace secara melulu sehingga menyebabkan kematian Muhammad Amirul Asyraaf Md Azizan

Iklan

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000, selain hilang kelayakan memiliki lesen memandu bagi tempoh tidak lebih lima tahun.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan mangsa maut akibat cedera parah di kepala, tangan dan kaki selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan ambulans berkenaan.

Iklan

Sementara itu, pemandu ambulans turut mengalami cedera di bahagian tangan, manakala dua penumpang di dalam kenderaan itu, masing-masing berusia 24 dan 81 tahun, tidak mengalami kecederaan serius.

Muhammad Amirul Asyraaf Md Azizan, 18, meninggal dunia di tempat kejadian.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Hafiz Othman yang mencadangkan jaminan RM8,000 terhadap tertuduh berserta syarat lesen memandu digantung sementara sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, peguam Datin Kharen Jit Kaur yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan lebih rendah.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan 17 September depan untuk sebutan semula kes.