PUTRAJAYA - Seorang lelaki yang dipercayai mencetuskan provokasi ketika sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya Isnin lalu direman sehari bagi membantu siasatan berhubung insiden tersebut.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed mengesahkan perkara itu ketika dihubungi pemberita pada Rabu.
"Suspek direman sehari bermula hari ini," katanya ringkas.
Sebelum ini tular beberapa rakaman video yang memaparkan seorang lelaki berbaju coklat mencetuskan provokasi terhadap anggota polis yang bertugas.
Terdahulu Aidi Sham berkata, pihaknya menerima empat laporan polis berkaitan kejadian tersebut.
Lelaki terbabit dipercayai merempuh dan menolak orang awam yang sedang menunggu pembukaan pagar masuk ke kawasan tempat duduk sehingga berlaku tolak-menolak dan beberapa individu terjatuh.
Menurut beliau, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 5 pagi ketika orang ramai berkumpul untuk menunggu pintu masuk ke kawasan tempat duduk awam dibuka.
Kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.