TEHERAN - Iran melancarkan siri serangan balas besar-besaran menggunakan peluru berpandu dan dron terhadap beberapa pangkalan serta kepentingan Amerika Syarikat (AS) di rantau Asia Barat pada Selasa.
Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mendakwa serangan itu menyebabkan sejumlah besar anggota tentera AS terbunuh, selain memusnahkan kemudahan ketenteraan dan aset udara.
Bagaimanapun, dakwaan angka korban tersebut belum dapat disahkan secara bebas.
Antara sasaran utama ialah kem tentera AS di Jordan yang dikenali sebagai Camp Titin berhampiran Teluk Aqaba.
IRGC mendakwa serangan peluru berpandu balistik ke atas kem berkenaan mengorbankan ramai anggota tentera AS serta memusnahkan beberapa kemudahan dan helikopter tempur.
Namun, tentera Jordan berkata, sistem pertahanan udaranya berjaya memintas 10 daripada 13 peluru berpandu yang memasuki ruang udaranya, manakala tiga lagi jatuh di kawasan terpencil tanpa menyebabkan kematian atau kecederaan.
Iran turut mendakwa melancarkan satu lagi serangan peluru berpandu ke atas Pangkalan Udara Prince Hassan di Jordan dengan menyasarkan hangar dron jarak jauh RQ-4 dan MQ-9.
Pada masa sama, tentera Iran melancarkan serangan dron ke atas kemudahan radar dan kawasan penempatan tentera AS di Pangkalan Udara Sheikh Isa di Bahrain.
Bahrain bagaimanapun memaklumkan sistem pertahanan udaranya berjaya memintas dan memusnahkan dron yang dilancarkan dari Iran.
IRGC turut mendakwa pangkalan AS di Erbil, wilayah Kurdistan Iraq menjadi sasaran serangan gabungan peluru berpandu dan dron yang merosakkan kemudahan penyelenggaraan serta stor peralatan.
Serangan balas Iran dilancarkan selepas AS menyerang beberapa lokasi di selatan negara itu.
Menurut pihak berkuasa Iran, satu serangan di Kouhestak, wilayah Hormozgan mengenai sebuah kediaman ketika majlis perkahwinan berlangsung, menyebabkan sekurang-kurangnya empat orang termasuk seorang kanak-kanak terbunuh dan lebih 50 cedera.
Media antarabangsa turut melaporkan serangan AS mengenai lokasi awam berkenaan, namun angka korban yang dilaporkan berubah ketika operasi kecemasan masih berlangsung.
IRGC menyifatkan serangan balas itu sebagai tindak balas terhadap operasi ketenteraan AS dan memberi amaran tindakan Washington hanya akan mengukuhkan pendirian Teheran untuk terus menutup Selat Hormuz.
Pertempuran terbaharu itu mencetuskan kebimbangan konflik AS-Iran yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu akan kembali meningkat selepas tempoh pertempuran yang lebih terkawal. - Agensi