PASIR PUTEH - Percutian seorang pelancong berakhir tragedi apabila dia maut selepas dilanggar sebuah kenderaan ketika berjalan kaki di bahu jalan di kilometer 24.5 Jalan Persekutuan Melawi-Kuala Besut di sini pada Selasa.
Pelanggaran itu menyebabkan mangsa berusia 29 tahun dari Republik El Salvadordi percayai meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Saari Yaacob berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan berkenaan kira-kira jam 9.44 malam.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati semasa kemalangan mangsa sedang berjalan kaki di bahu jalan menghala ke Kuala Besut sebelum dilanggar sebuah kenderaan yang tidak dapat dikenal pasti.
"Usaha mengesan kenderaan terlibat sedang dijalankan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Saari memberitahu, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Tengku Anis untuk tujuan bedah siasat.
Ujar beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jelasnya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat kepada balai polis berhampiran atau menghubungi talian 013-9872579.